Ahad, 29 Jun 2008

FENOMENA SENI - FILEM KITA TANDUS AGAMA? BAHAGIAN II

Prof Razak Mohideen ada menyebut ‘genre agama’. Saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkannya? Berdasarkan kefahaman saya, genre adalah samada komedi, drama berat, drama ringan, seram, aksi, romantik, romantik komedi, melodrama, komedi seram, aksi dramatik dan sebagainya. Sedangkan agama, cinta, keluarga, baik lawan jahat, sosial, dan sebagainya adalah tema. Kemudian, seorang pemanggil menelefon ke studio dan mencadangkan agar penerbit filem menerbitkan filem agama romantik komedi. Dia ketawa kecil di hujung bicara sebelum meletak telefon. Ahli panel dan pengacara tidak memberi apa-apa reaksi kerana menganggap cadangan itu tidak serius.

Saya berpendapat sebaliknya. Cadangan itu tidak wajar dipandang sepi. Ia berasas. Kristian sudah pun melakukannya dalam ratusan filem pop Hollywood. Contohnya, French Kiss lakonan Meg Ryan (1995) ditulis berdasarkan cerita dalam tiga surah Bible iaitu Luke, Matthew dan Genesis. Jiwa agama yang sangat ketara dalam filem pop Hollywood adalah Matrix (1999). Filem itu bertemakan Good Vs Bad dan dibuat dalam genre aksi. Bagaimanapun, dari perspektif Kristian ia adalah sebuah filem agama.

Di Malaysia, kalau sebut filem agama, pengkarya akan terfikirkan tema agama seratus peratus dan perlu dipersembahkan dalam genre drama berat. Ini biasa. Mungkin itu lah puncanya kenapa filem agama tidak laku di panggung. Khalayak yang menonton filem adalah remaja dan belia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun. Majoriti belum berkahwin. Majoriti sedang bercinta. Majoriti berpendidikan rendah. Walaupun mereka khatam Quran sejak di darjah enam dan tidak pernah tinggal sembahyang lima waktu, tapi kalau ke panggung, niat mereka tetap kerana mahukan hiburan dan keseronokan. Jarang sekali mereka memasang niat, “aku ke panggung kerana mahu mencari ilmu agama.” Dalam minda kebanyakan mereka, ilmu agama perlu dicari di surau, bukan di panggung wayang. Ini hakikat.

Kita semua maklum bahawa 40 tahun lagi pun, penonton Malaysia tidak mungkin mahu menonton filem jenis ini. Kalau memang sengaja dibuat untuk menang anugerah atau dieksport ke luar negara, itu tidak mengapa. Malahan, sangat dialu-alukan. Namun, kalau untuk penerbit ‘cari makan’, memang penyakit jawabnya. Sudahnya penerbit berhutang dengan bank dan tidak dapat lagi menerbitkan filem selepas itu. Keadaan ini berlaku pada beberapa penerbit, contohnya Puan Habsah Hassan yang menerbitkan Qaisy & Laila.

Memandangkan mereka membincangkan tentang filem jenis ini, ahli panel dengan mudah menunding jari kepada penerbit. Penerbit enggan menerbitkannya kerana ia tidak mungkin laku di panggung. Mereka juga menyalahkan penonton kerana enggan memilih filem agama berat. Keengganan ini menyukarkan para pengkarya untuk berdakwah melalui filem. Atau berjihad mengikut kata Bade. Mereka kemudiannya membincangkan samada orang kaya Muslim tampil membiayai penerbitan filem atas nama jihad. Atau organisasi agama kerajaan membiayainya.

Bagaimanapun, sekiranya pengkarya itu ada ilmu agama atau kesedaran agama, dia tidak perlu menunggu dana dari orang kaya atau kerajaan. Dia masih boleh menyampaikan agama secara santai dan bersahaja melalui filem-filem komersil. Tidak kira lah samada genre komedi, romantik atau aksi. Penerbit memang tidak ada masalah hendak menerbitkan genre ini. Ia sangat laris di panggung. Sepatutnya pengkarya kita mengambil kesempatan untuk memaparkan agama dalam filem-filem seperti ini yang ditonton oleh remaja dan belia. Sayang sekali, pengkarya tidak berbuat demikian kerana kekurangan ilmu. Atas dasar itu, tepat sekali keputusan undian SMS di akhir rancangan. Kebanyakan pengundi berpendapat filem kita tandus agama kerana pengkarya kurang berilmu.

1 ulasan:

OrenKL berkata...

saya suka sebenar cadangan cik/puan untuk menghasilkan filem agama. saya sebenarnya seorang berfikir sebagai pembikin filem. cuma itu bukan masalah disebabkan dana tetapi sokongan daripada kalangan pembikin filem kami sendiri.Mereka menggangap untuk menghasil filem agama kerana banyak pantang larang dan adakala menghalang kreativiti untuk berkarya . Tetapi itu semua tak benar, kerana filem iran masih mampu menghasilkan filem berbentuk agama yang mementingkan penutupan aurat serta batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan. untuk pengetahuan cik, David Teo sendiri berminat untuk menghasil filem beragama cuma gagal mendapat skrip yang baik daripada penulis-penulis skrip.ini menunjukkan filem agama sebenar boleh menjadi aliran yang popular sekiranya penerbit dan pembikin filem menghasilkan filem itu dengan mengikut perkembangan semasa dan cuba mempermudahkan agama dan paling penting filem agama sepatutnya diteruskan . jangan disebabkan kegagalan filem syukur 21 kita mengalah untuk menghasil filem agama. filem agama boleh mencapai keuntungan melebih filem bercorak popular sekiranya yakin rezeki di tangan Allah S.W.T. . Saya yakin filem agama boleh mendapat sambutan sekiranya penerbit dan pembikin berani dan ikhlas menghasilkan kerana dakwah dan Allah S.w.t.Insya-Allah, Sekiranya saya diberi peluang menghasilkan serta mengarahkan filem agama , saya membuat filem itu menarik ditonton oleh masyarakat.