Khamis, 27 Disember 2007

PENIPUAN TERBESAR DALAM SEJARAH MANUSIA

(Milenia Muslim, Julai 2007 - dipendekkan dari rencana asal)

Tidak ada salahnya kalau kita menggunakan wang kertas. Malah wang kertas lebih mudah kerana ia ringan. Sekarang, yang membawa masalah besar ialah tipu daya di sebalik wang kertas itu.

Berikut adalah fakta yang dipetik dari buku The Creature From Jekyll Island tulisan G Edward Griffin :

Titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Satu mesyuarat misteri di Pulau Jekyll membawa kepada penubuhan The Federal Reserve Department (FRD). Keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing! Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah satu pembohongan! Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Amerika Syarikat. Antaranya :

1. Mencetak wang kertas Dolar Amerika
2. Memperkenalkan Fractional Reserve Banking (FRB).

FRB ini kemudiannya menjadi asas kepada perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakan oleh industri perbankan seluruh dunia termasuk Malaysia (sekali dengan bank-bank Islamnya!) Ia digunakan untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah yang berganda-ganda melebihi kekayaan sebenar. Ini lah yang menjadi punca kepada ketidakseimbangan ekonomi.

Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku. Antaranya :

1. British menguasai Jerusalem pada 1919.
2. Berakirnya Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun .
3. Kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.
4. Perang Dunia Pertama dan kemelesetan ekonomi dunia pada 1929-30.
5. Perjanjian Bretton Wood (1941) bersetuju menyandarkan mata wang kertas 44 negara kepada Dolar Amerika. Jaminanya USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Bertitik tolak dari perjanjian ini, negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pula ditubuhkan. Pada 1948, negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat di tengah-tengah negara Palestin yang sah. Seterusnya, pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Richard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam. Negara itu mengalami masalah defisit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat adalah USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Ini bermakna Amerika tidak jujur dalam menyandarkan dolar kepada emas.


Namun, Amerika Syarikat licik bertindak dengan cara memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ia memungkiri perjanjian Bretton Wood. "Mereka' bertindak secara unilateral untuk menguburkan sistem piawaian emas. Selepas 15 Ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat. 'Fiat' adalah terma yang diberikan kepada matawang yang bernilai sifar!

Memandangkan wang fiat bernilai sifar (kosong, zero), ini bermakna setiap negara bebas mencetak wang kertas atau menambah angka dalam akaun tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain). Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market force). Nilainya bergantung kepada permintaan dan manupulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar. Pihak yang mengeluarkannya tidak semestinya menunaikan ‘janji’ itu. Atas dasar ini lah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, ‘Wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai...’. Ini sekadar janji.....(IOU)

Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan. Pengertian sebenar di sebalik wang kertas ialah ia sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapya. Kepercayaan semata-mata! Itu sahaja! Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ ia pun tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni-guni.

Ketika Amerika menyerang Iraq pada 2003, duit kertas Iraq dilambakkan di satu tempat seperti bukit dan dibakar hangus. Di Malaysia, generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’. Mereka melihat berguni-guni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Kata mereka, ‘duit tidak laku’ .