Rabu, 23 April 2008

NASIB GOLONGAN “MIDDLE CLASS”

Inflasi makanan dunia sudah bermula. Harga makanan import mahal. Apa pun, kita terpaksa beli. Malaysia tidak mengeluarkan makanan sendiri. Sejak beberapa dekad lalu, ladang-ladang pertanian bertukar jadi kilang-kilang. Kini, kita bersedih di atas kegagalan proton. Tetapi Thailand, Taiwan dan Vietnam terus maju dengan industri bio-tech dan agro-tech. Mereka hasilkan makanan untuk eskport. Pak Lah cuba memperbetulkan kesilapan Tun Dr M dengan membangunkan bio-tech dan agro-tech. Namun, itu tidak pernah menjadi realiti. Kini, harga beras import naik mendadak angkara susutnilai Dolar Amerika (USD).

Emas ada negative colleration dengan USD tetapi positif dengan kadar faedah. Sekarang, USD jatuh, minyak naik, emas naik dan kadar faedah pun naik. Ini bermakna rakyat yang berhutang bank dan berkereta akan terasa “perit” sedikit.

Golongan pertengahan adalah golongan yang berhutang dengan bank untuk mendapatkan sedikit “harta”. Hutang ini memakan masa antara 20-30 tahun untuk diselesaikan. Hutang ini juga boleh diwariskan kepada generasi kedua dan ketiga. Golongan pertengahan juga adalah golongan yang paling banyak berkereta untuk ke tempat kerja. Jadi, masalah yg berlaku di Amerika Syarikat sekarang memang memberi kesan kepada golongan ini. Dalam kata lain, ia disebut sebagai “middle class”. Middle class pula terbahagi kepada dua iaitu “upper” dan “lower”.

Kebanyakan pemimpin negara termasuk dalam golongan “rich” - tidak ada hutang dengan bank tetapi ada aset yang banyak. Golongan “poor” di kampung tidak berhutang dengan bank dan tidak memandu ke tempat kerja. Jadi, masalah Amerika Syarikat tidak begitu memberi kesan kepada golongan “poor” dan “rich”.

Yang terkesan adalah golongan “upper middle class” dan “lower middle class”. Mereka mempunyai sedikit aset, tetapi lebih banyak liabiliti. Contohnya hutang rumah, hutang kereta, kad kredit, insurans, kad perubatan, personal loan, yuran sekolah swasta, yuran tusyen, ansuran barangan rumah, ansuran set pendidikan/buku anak-anak, ansuran kelab golf & rekreasi, ansuran kelab travel & holiday, ansuran barangan kesihatan, dsb. Golongan ini lah yang akan ‘menderita’ sekiranya hari ini Amerika Syarikat menyerang sebuah lagi negara di rantau teluk...

KENAPA RUMAH MAKIN KECIL DAN MAHAL?

Sejak 30 tahun ini, rumah jadi semakin kecil dan mahal. Kenapa? Puncanya kerana penyusutan nilai matawang. Sebagai contoh, pendapatan RM1,000 sebulan pada tahun 1970 membolehkan orang duduk banglo dan bawa Volvo. Sekarang, tidak boleh beli apa-apa. Gaji sebanyal itu hanya cukup untuk makan sahaja.

Penyusutan matawang dan kenaikan kadar inflasi sejak 30 tahun ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengawal harga makanan, barangan pertanian dan keperluan asas. Namun, kawalan harga menyebabkan ekonomi jadi tidak seimbang (Maksudnya senget atau berat sebelah). Bagi menyeimbangkan ekonomi , harga sektor hartanah terpaksa dinaikkan. Itu lah sebabnya kenapa rumah jadi semakin mahal dan kecil. Ini lah kesan langsung daripada susutnilai matawang dan inflasi.

Di negara yang kuat rasuah, masalah perumahan agak meruncing. Di India dan Indonesia misalnya, ada orang tidur di bawah jambatan. Peliknya, ini juga berlaku di New York.

Kenapa ini berlaku? Mulai 1970-an, Amerika Syarikat dengan sikap diktatornya itu telah memutuskan ikatan antara emas dengan USD. Sejak itu, semua negara di dunia bebas mencetak wang kertas tanpa bersandarkan apa-apa aset yang nyata (tangible). Hanya perlukan mesin cap duit. Sebelum itu, mereka sudah pun menubuhkan Federal Reserved Department dan memperkenalkan Fractional Reserved Banking (FRB).

Ini bermakna urusniaga sesebuah bank dan institusi kewangan adalah berganda-ganda melebihi duit sebenar. Ini menyebabkan inflasi dan nilai wang menyusut dari tahun ke tahun.

KELANTAN LAWAN HEGEMONI DOLAR

Dalam Islam tidak ada konsep, “biar lah mereka jahat, jangan kita jahat sudah.” Dalam Islam, kita mesti jadi baik dan ajak orang lain jadi baik sama. Kalau nampak orang jahat, kita kena tentang mereka. Kalau tidak, aktiviti mereka akan memberi tempias kepada kesejahteraan hidup kita semua. Sebagai contoh, di waktu-waktu kelembapan ekonomi, tindak-tanduk pelaku rasuah dan riba, walaupun jumlah mereka kecil, akan memberi kesan negatif kepada ramai anggota masyarakat.

Tapi dalam melakukannya, kita kena realistik. Dalam kes Malaysia contohnya, kita boleh buang pemimpin rasuah melalui pilihanraya. Akan tetapi dalam sesetengah kes, kita tidak boleh menentang langsung. Sebagai contoh, kita tidak boleh jumpa bos IMF dan berkata,

“Eh, apa yang awak buat ni salah. Cara ini haram ikut agama kami. Agama kami agama yang benar. Nanti Tuhan kami marah. Kalau dia marah, akan jadi lah musibah ekonomi besar-besaran.
Ha..ha...cara ini sungguh tidak realistik.

Justeru, idea yang lebih realistik adalah “Kembali Kepada Emas” atau “Back To Gold”. Kembali kepada emas bermakna cuba untuk menjauhi wang kertas dan wang elektronik. Hanya emas dan perak dapat :

* melawan inflasi,
* menghalang penjanaan riba,
* menghalang serangan matawanG,
* mengembalikan kestabilan ekonomi.

Orang kafir yang tidak percaya Tuhan pun kembali kepada emas. Niat mereka untuk menyelamatkan harta dunia. Vatican City, pusat pemerintahan Kristian menyimpan derma orang ramai dalam bentuk emas. Juga dengan niat untuk selamat di dunia.

Namun, orang Islam agak terlewat dalam soal ini. Gagasan Kembali Kepada Emas hanya muncul pada tahun 1990-an. Malaysia melalui usaha Tun Dr M pun lambat menyertai gagasan ini. Setelah serik terkena “badi’ ekonomi Asia, Dr M memwar-warkan idea penyelesaian baki dagangan menggunakan emas pada 2001. Sayang sekali, idea beliau gagal dilaksanakan.

Kenapa gagal? Jawapannya kerana halangan dari undang-undang monetory antarabangsa. Ikut undang-undang ‘mereka’, semua negara boleh menukar barang dengan apa jua komoditi tetapi jangan emas. (NOT GOLD!) Maknaya Malaysia boleh bagi rambutan pada Arab Saudi. Tapi Malaysia tidak boleh bagi emas. Vice versa. Soalnya, siapa yang mahukan rambutan atau unta-unta padang pasir itu?

Kemudian, Dr M menyepi diri. Al-Jazeera menuduh dia “melarikan diri” dari gagasan ini. Seperti biasa, Dr M meletakkan kesalahan ini kepada Arab Saudi yang takut pada Amerika.

Bagaimanapun, muncul Dinar Emas Kelantan pada 2006. Tujuannya untuk menggalakkan rakyat menjadikan emas sebagai alat simpanan/tabungan, zakat, mas kahwin , hadiah dan cenderamata. Sekalipun Kelantan agak lewat menyertai gagasan ini, tetapi usaha Kelantan lebih praktikal.

Setakat ini belum ada undang-undang yang melarang orang persendirian menyimpan emas. Atau menukar barang dengan emas secara “suka sama suka”. Tapi kalau emas dijadikan “legal tender”, ini memang salah besar. Sebagai contoh, Ahmad hendak beli printer daripada Budin dengan harga RM420. Ahmad membayar Budin dengan sekeping dinar emas. Budin rela hati menerimanya. IMF tidak boleh menangkap Ahmad dan Budin kerana mereka tidak mengisytiharkan emas sebagai ‘legal tender’.


Sekiranya semua org buat seperti Ahmad dan Budin, pergantungan terhadap duit kertas akan berkurangan. Cara ini dapat mengurangkan inflasi. Duit emas dan perak adalah kalis inflasi. Setakat ini, ini lah sahaja cara yang Kelantan boleh fikirkan untuk melawan hegemoni Dolar Amerika.

Salah seorang tenaga penggerak gagasan ini, Umar Vadillo menyalahkan Tun Dr M kerana tidak mengambil langkah-langkah seperti Kelantan sejak awal lagi. "Mahathir buat silap. Silap dia tidak suruh rakyat Malaysia simpan dinar. Kalau lah lima tahun dulu rakyat Malaysia sudah ada dinar..."

RISIKO WANG FIAT

Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada beberapa bentuk wang zaman moden :

1. Angka-angka dalam akaun (termasuk angka atas cek)
2. Hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan
3. Kad plastik digital. (Kad ATM, kad kredit, kad debit, etc.)

Kesemua bentuk wang di atas TIDAK DISOKONG oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya boleh dengan mudah dimainkan oleh spekulator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusiaan. Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang. Lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai.

Sistem ekonomi kapitalis melalui bank dan institusi kewangan mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran. Tindakan ini menyebabkan :

1. Inflasi.

2. Kuasa beli rakyat berkurangan.

3. Harga rumah menjadi terlalu tinggi. Saiz rumah makin kecil.

4. Semua orang terpaksa berhutang dengan bank sepanjang hayat dan mewariskan hutang itu kepada anak cucu.

5. Ketidakseimbangan ekonomi.

6. Kerajaan terpaksa mengawal harga sektor pertanian lalu menyukarkan kehidupan para petani.

7. Kerajaan terpaksa mengawal harga makanan import terutama makanan ruji seperti beras.


Justeru, wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak jujur. Apabila kongres Amerika Syarikat meluluskan FRD dan kemudian memungkiri Perjanjian Bretton Wood, seluruh ummah sudah ditipu ‘hidup—hidup’. Ini lah penipuan terbesar dalam sejarah manusia. Penipuan oleh golongan elit pencekik darah yang berselindung di sebalik nama ‘federal’. Kini, risikonya adalah :

1. Angka-angka dalam bank boleh susut atau lenyap.
2. Wang kertas boleh menjadi tisu tandas!

ADA APA DI SEBALIK PERINTAH DAN LARANGAN TUHAN

Sejak kecil kita dididik untuk mematuhi perintah dan larangan Tuhan. Bagaimanapun, kita tidak pernah dididik untuk mengkaji rasional di sebalik perintah dan larangan itu. Akibatnya, apabila dewasa, kita menjadi terlalu pemilih. Kita hanya memilih perintah dan larangan yang kita suka sahaja.

Contoh paling mudah, tidak makan babi. Kalau sudah termakan, kena jelir lidah dan samak lidah. Tapi ada juga orang kafir yang tidak makan babi. Mereka mengkaji babi secara saintifik. Terbukti dalam binatang itu ada banyak kuman. Kuman itu tetap tidak mati sekalipun dimasak dengan api. Terdapat banyak penyakit merbahaya yang berpunca darinya.

“Khinzir phobia” di Malaysia sangat dasyat walaupun tidak pernah mengkajinya secara saintifik. Situasi ini kontras dengan larangan riba. Kita tidak pernah mengalami “riba phobia”. Padahal ayat-ayat tentang riba di dalam al-Quran amat keras nadanya. Kenapa “double standard”? Kenapa takut sangat pada babi tetapi tidak pada riba?

Keadaan ini berlaku mungkin kerana dua faktor. Pertama, orang Islam hanya
mengaji Quran tetapi mereka tidak mengkaji Quran. Kedua, mereka tidak mengkaji selok belok urusan dunia yang dilalui setiap hari.


Sebagai contoh, riba terjadi apabila :

• Bank pusat mencetak duit kertas melebihi rezab yang ada (kekayaan sebenar).

• Bank mencipta wang dengan cara memberanakkan satu simpanan pendeposit kepada tiga pemimjam (di negara rasuah ia boleh beranak kepada 24 pemimjam!)

• Peraturan Fractional Reserve Banking (FRB).

Ini menjadikan urusniaga sesebuah bank lebih berganda-ganda daripada duit yang sebenar. Angka komputer itu jauh lebih besar dari duit yang boleh dipegang dengan tangan dalam bank. Perbezaannya macam antara langit dengan bumi. Semuanya berlaku dengan cara memasukkan angka-angka elektronik dan menyamakannya setiap hari sebelum bank ditutup. Sekiranya semua orang pergi beramai-ramai untuk mengeluarkan duit masing-masing SECARA SERENTAK, bank tidak akan mampu memberikannya. Situasi ini sudah pun berlaku di negara-negara korup dan tidak stabil. Ia disebut sebagai keruntuhan bank. (The collapse of bank)

Semua bank di seluruh dunia terlibat dalam aktiviti ini. Ia berlaku sejak Amerika Syarikat menubuhkan Federal Reserved Department pada 1914. Aktiviti ini membawa mudarat dari segi jangkapanjang. Sekarang, ia sudah menunjukkan tanda-tandanya. Antaranya seperti penyusutan nilai wang, inflasi dan situasi ekonomi yang rapuh. Ini bermakna ekonomi sesebuah negara boleh turun dan naik secara mendadak. Selain itu, harga barang juga boleh naik secara mendadak tanpa memberi peluang kepada rakyat untuk membuat persediaan. Sebagai contoh, peningkatan harga beras import kerana menggunakan Dolar Amerika.

Semua keadaan ini berpunca daripada aktiviti penjanaan riba secara besar-besaran di seluruh dunia. Sekarang mari kita berbalik kepada ajaran asas dalam Islam. Apa-apa yg selamat untuk manusia, itu dibolehkan. Apa-apa yang tidak selamat untuk manusia, itu tidak boleh.

Justeru, tahu lah kita bahawa Allah melarang riba bukan kerana “saja suka-suka”.

KEBURUKAN DUIT KERTAS

Apa-apa yang beri keuntungan pada “seorang” saja, ia dianggap buruk. Apa-apa yang beri keuntungan pada “semua orang”, ia dianggap baik. Ini perkara asas atau pokok dalam ajaran Islam. Jadi, duit kertas dianggap ‘buruk’ kerana boleh beri keuntungan pada “seorang”. Dalam pada itu, ia boleh menyebabkan “ramai orang” rugi.

Pada 1997, seorang lelaki bernama Soros mengaut keuntungan besar. Namun, ribuan penduduk Asia Tenggara hilang pekerjaan. Di Indonesia, ramai yang tidak dapat pergi haji kerana rupiah menyusut teruk. Rupiah yang disimpan di dalam bank selama bertahun-tahun menjadi tidak begitu bernilai. Situasi ini sudah tentu bercanggah prinsip asas “keuntungan bersama” dalam Islam.

Aktiviti seperti penciptaan wang melebihi kekayaan sebenar melalui wang kertas menyebabkan ekonomi menjadi sangat rapuh. Di negara-negara yang kuat rasuah, selalu saja berlaku krisis nilai matawang, keruntuhan bank, kekurangan bekalan makanan import (akibat pertukaran nilai matawang), peningkatan inflasi dan kadar pengangguran.

Malaysia tidak terlepas dari ancaman ini. Dunia sekarang sedang berhadapan dengan risiko kelembapan ekonomi dunia dan inflasi makanan sedunia. Keadaan ini berpunca daripada susutnilai Dolar Amerika dan hutang sub-prima. Malaysia adalah negara yang mengekspot barangan ke Amerika Syarikat dan mengimport makanan ruji dari Thailand, Vietnam dan Taiwan. Semua ini adalah risiko buat kita kerana ia menggunakan Dolar Amerika yang semakin bermasalah.

Secara semulajadi, semua manusia – tanpa mengira agama, bangsa dan negara – mahu menjauhi perkara buruk yang memudaratkan diri dan keluarga. Kini, keburukan dan kemudaratan itu terserlah melalui duit kertas. Matawang RM tidak kalis inflasi, semakin menyusut nilai dan mempunyai risiko untuk diserang oleh spekulator. Atas dasar itu lah kita perlu mencari alternatif lain. Sebagai contoh, dinar emas. Dalam keadaan ekonomi dunia yang rapuh seperti sekarang, simpanan dalam bentuk matawang emas adalah pilihan terbaik. Setakat ini, dinar emas adalah satu-satunya cara yang dapat membantu kita menjauhi mudarat wang kertas.

Contoh terbaik, sejak enam tahun lalu, Dolar Amerika menyusut sebanyak 40% manakala emas meningkat sebanyak 50%. Warga Indonesia yang menyimpan dalam emas dapat ke Mekah dalam masa lima tahun sahaja. Sedangkan yang menyimpan dalam rupiah masih gagal. Atas dasar itu lah emas dianggap sebagai sesuatu yang baik dari kaca mata Islam. Ia adalah kalis inflasi, kalis susutnilai, kalis riba dan kalis spekulasi.

Dalam soal riba, dinar emas boleh menjadi senjata menentang riba. Sifat emas yang berbentuk real wealth atau tangible asset itu sendiri tidak memungkinkan sebarang aktiviti penghasilan wang melebihi kekayaan sebenar.

RASUAH – BUKAN ISU INDIVIDU ATAU PARTISAN

Prinsip asas dalam Islam mudah sahaja. Apa-apa yang beri keuntungan pada “seorang” saja, ia dianggap tidak betul. Apa-apa yang beri keuntungan pada “semua orang”, ia betul.

Rasuah tidak betul kerana ia menguntungkan “seorang” atau “sekelumpuk” yang melakukannya. Namun, ia merugikan “ramai orang” yang tidak melakukannya. Islam melarang rasuah atas dasar ia boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat. Masyarakat bermakna “orang ramai”.

Namun begitu, kesan buruk rasuah kurang ketara dalam sesebuah ekonomi yang stabil. Apabila ekonomi meleset, baru lah rasuah akan menampakkan kesan-kesan negatif . Contohnya, pada 1997, akibat rasuah yang teruk di kalangan pemimpin Indonesia, rupiah jatuh lebih teruk drp RM. Warganya hilang kerja dan tempat tinggal. Mereka pun membanjiri jalan raya dan berjaya membuang Presiden dari takhta. Alhamdulillah, di Malaysia pada waktu itu, keadaan tidak begitu buruk. Kalau ada pun, hanya dalam bentuk kerugian beberapa syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan (GLC). Pun begitu, rakyat masih ada pekerjaan, makanan dan tempat tinggal. Lalu pemimpin kita pun selamat dari dibuang dari takhta…

Ekonomi Malaysia yang agak stabil menyebabkan ada rakyat tidak peduli. Mereka menganggap isu rasuah adalah isu “individu”. Ini bermakna, pada pandangan mereka, mudarat rasuah hanya pada pelakunya sahaja. Itu pun ketika di akhirat kelak iaitu dihukum oleh Allah. Jadi, rasuah tidak ada kena mengena dengan diri mereka dan keluarga mereka.

Tidak kurang juga yang menganggap isu rasuah adalah isu “Anwar Ibrahim”. Jadi, sesiapa yang bercakap tentang rasuah adalah penyokong Anwar Ibrahim. Sebenarnya, tidak semua penentang rasuah adalah penyokong PKR. Ada yang menentang rasuah atas dasar ia boleh memberi mudarat kepada masyarakat sekiranya berlaku musibah ekonomi. Ini terbukti di negara-negara korup seperti di Amerika Latin dan Afrika yang tidak stabil. Selalu sahaja berlaku krisis kejatuhan nilai wang, bank ‘bankrap’, pendeposit hilang wang, kekurangan bekalan makanan, inflasi dan pengangguran. Sebaliknya di negara korup yang kaya seperti Timur Tengah, kesan negatif rasuah tidak begitu ketara. Pun begitu, rasuah tetap satu ancaman sekiranya berlaku krisis politik seperti di Iraq.

Ada yang menentang rasuah atas dasar Islam melarangnya. Golongan ini adalah golongan yang mematuhi perintah dan larangan Tuhan. Tapi mereka tidak pula peduli hendak mengkaji rasional di sebalik perintah dan larangan itu. Yang peliknya, bila mereka menyebut Islam, ada yang menganggap mereka penyokong PAS pula. Sebenarnya, tidak semua penyokong perintah & larangan Tuhan adalah penyokong PAS.

Ini lah dilema seorang non-partisan bila mahu bercakap tentang rasuah ketika demam PRU12 masih belum kebah-kebah lagi.