Isnin, 15 Disember 2008

REAKSI KEPADA SARANAN "DRAMAKAN CERPEN" OLEH SITI JARUM

Semalam, 14 Disember, Siti Jarum (Ku Seman?) telah mencubit manja penulis skrip drama Melayu tempatan. Drama Melayu tempatan dikatakan lebih kuah dari isi, disolek cantik, ketandusan idea dan cerita yang baik. Drama korporatnya pula superfisial dan terlalu berkarat. Beliau menyelar penulis skrip sebagai orang yang tidak membaca karya sastera, mengulang dialog yang sama beratus kali, tidak berfikir, terperangkap dalam pemikiran yang beku dan stereotype.

Saya sempat mendapatkan reaksi beberapa rakan penulis skrip. Ramai yang menerima pandangan ini dengan positif. Dan menjadikan 'cubitan' ini sebagai satu cabaran. Memang pun selama ini kami bekerja dalam suasana yang 'tercabar' dan 'mencabar'.

Hanya apa yang ingin kami tekankan di sini ialah tidak semua penulis skrip seperti yang didakwanya itu. Ramai yang membaca karya sastera. Kami juga menulis beberapa konsep yang berpemikiran. Tapi acapkali konsep itu terperap sahaja di meja eksekutif stesyen atas alasan "berat".

Dan katalah ada cerpen atau novel sastera yang benar-benar menyentuh jiwa sehingga kita berkata, "mesti buat adaptasi". Soalan pertama yang timbul, berapakah harga hakciptanya? Empat tahun dahulu, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd menetapkan RM8,000 untuk karya novel remaja yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Dengan harga setinggi itu, tidak mungkin ada penerbit yang sanggup mengadaptasinya untuk telemovie 90 minit. Sekiranya untuk drama rantaian 26-30 episod dengan durasi satu jam setiap episod, mungkin boleh. Keadaan ini berbeza dengan novel popular yang harga hakciptanya murah. Alaf 21 Sdn Bhd misalnya meletakkan harga RM1,500 sahaja untuk satu tajuk, tanpa mengira ia untuk telemovie atau drama rantaian. Ia juga tidak mengambil kira nama penulis samada popular atau tidak. Dan samada tajuk itu best seller atau tidak. Pukul rata RM1,500. Ini menjadikan penerbit drama tempatan berlumba-lumba mengadaptasi novel popular. Apatah lagi, sifat novel itu yang amat bersesuaian dengan medium televisyen yang juga bersifat popular. Di sini, terdapat manafaat dua hala iaitu televisyen mendapat jumlah penonton (ratings) tinggi berdasarkan populariti novel. Dan jualan novel meningkat semasa karya adaptasi itu sedang bersiaran di kaca TV. Keadaan ini tidak berlaku pada karya sastera kerana dua faktor yang saling tolak menolak - keengganan pihak stesyen untuk menerima naskah berat dan harga tinggi oleh pemilik hakcipta.

Selain itu, tidak semua karya sastera yang baik mampu menjadi sebuah drama yang baik selepas melalui proses adaptasi. Ini kerana seni bercerita dalam novel atau cerpen berbeza dengan seni bercerita dalam skrip. Ia adalah dua medium yang nyata sekali berbeza walaupun jenis kerjanya sama iaitu menulis. Apabila Siti Jarum mencadangkan cerpen "Apabila Alam Berbicara" karya Rozais al-Anamy, beberapa penulis skrip berpendapat ia bukan satu kerja yang mudah. Tentunya mereka bercakap berdasarkan pengalaman mengerjakan skrip samada skrip asal atau skrip adaptasi. Tentang saranan ini, saya menjelaskan beberapa aspek dari segi teknikal dalam blog Tangisan Bulan Madu. Semoga tulisan sepanjang lima bahagian itu berjaya memberi sedikit pendedahan kepada sesiapa yang berminat.

Sila klik di bawah :

http://www.tangisanbulanmadu.blogspot.com

Tiada ulasan: