Isnin, 29 Disember 2008

SELAMAT TAHUN BARU 1430H

Hari ini tahun baru. Saya mahu tempuhi tahun baru dengan semangat tinggi dan positif. Sekalipun ada musibah yang bakal berlaku. Ya, Tuhan meminta kita berdoa bagi mengelak musibah. Tetapi doa sahaja tidak mencukupi. Tuhan juga meminta kita berusaha. Salah satu usaha ialah mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu situasi. Kemudian, baru lah merancang. Seterusnya, bertindak berdasarkan perancangan. Akhir sekali, berserah. Bak ungkapan popular, "kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan". Begini lah caranya jika mahu selamat dari musibah. Ia berkaitan dengan konsep usaha, doa dan tawakkal.

Pada zaman sekarang, musibah ekonomi berpunca dari penciptaan wang secara tidak bertanggungjawab oleh bank dan institusi kewangan di seluruh dunia. Maksudya, percetakan wang kertas dan pemberian pinjaman melebihi kekayaan sebenar yang ada di tangan pihak-pihak yang mengeluarkannya. Jadi, sekiranya kita berhutang dengan bank, bermakna kita bersubahat dalam memburukkan lagi ekonomi. Ini termasuk pinjaman atas nama "Islam" dan dengan perkataan-perkataan "Arab" yang tidak kita fahami maksudnya.

Kenapa subahat? Kerana kita membantu membesarkan EKONOMI PALSU. Setiap kali kita menandatangani pembelian menggunakan kad kredit misalnya, kita dianggap bersubahat mencipta wang palsu. Ia digelar palsu kerana tidak disokong oleh kekayaan sebenar iaitu emas (physical gold) atau apa-apa sistem yang dinilaikan kepada emas. (gold payment system). Apabila ekonomi palsu ini semakin membesar bagaikan belon yang ditiup, ia pasti meletup akhirnya!

Tanda-tanda untuk meletup kian hampir. Kerana sifatnya yang 'sifar'. Sedihnya, ramai yang tidak sedar. Dan pada 2008, seperti yang diramal oleh pakar sejak beberapa tahun lalu, sistem ini mula membayangkan malapetaka. Sesuatu yang palsu lama kelamaan pasti terbongkar jua. Wawancara televisyen dan artikel akhbar terkini mengesahkan bahawa pakar pun ‘pening’ dengan situasi sekarang. Mereka merumuskan bahawa situasi sekarang berada dalam keadaan tidak menentu.

Justeru, tepat lah kata-kata Tuhan bahawa, “Dan segala apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri” (as-Syura : 30)

Tiada ulasan: