Selasa, 4 November 2008

FILEM DAN DRAMA II : KESEDARAN TANPA ILMU, BANTUTKAN HASRAT.

(Artikel ini tersiar dalam kolum Maizura Menulis, Majalah Muslimah, keluaran Oktober 2008, tetapi telah dipendekkan dari versi asal untuk menyesuaikan dengan medium blog)


Pada hakikatnya, aktiviti penghasilan filem dan drama kita masih bergelar industri kecil atau ‘backyard’. Ia tidak menjana pulangan yang besar buat ekonomi. Kita tidak mengeksport filem dan drama ke luar. Justeru kehadirannya, tidak begitu memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara.

Pun begitu, di sebalik kekerdilannya, masih ramai yang tegar berada di dalam industri ini. Sebahagian besar berjuang atas nama kapitalisme dan komersialisme. Mereka mengutamakan aspek komersil. Lantas meminggirkan aspek pembangunan insani. Sebahagian kecil berjuang atas nama seni. Biarpun ada yang menggelar mereka sebagai ‘syok sendiri’, mereka tetap dengan ekpresi diri. Lumrah seniman, tidak mungkin menyimpan apa yang bergolak di jiwa. Ia perlu diluahkan sekalipun tidak ada yang mahu menghayatinya.

Ada juga kelumpuk yang berjuang atas nama agama. Berhasrat untuk menjadikan filem dan drama sebagai medium pendidikan. Mereka mahu menyumbang ke arah pembangunan sosial, berbanding pembangunan ekonomi. Buat masa ini, kelumpuk ini paling kecil atau minoriti. Penghasilan karya terhad kepada televisyen. Di panggung, golongan ini belum lagi menampakkan taringnya.

Kelumpuk ini diwakili pengamal yang sudah lama ‘bersilat’ dalam gelanggang ini, tetapi baru mendapat kesedaran agama. Jarang sekali kelumpuk ini diwakili oleh mereka dari luar industri yang masuk ke dalam industri untuk mengubah hala tujunya. Jarang. Ini bermakna orang berilmu dan berkesedaran agama, enggan menjadikan flem dan drama sebagai medium pendidikan. Padahal filem dan drama sangat berkesan untuk mendidik secara halus dan tidak langsung. Cara ini sesuai buat golongan belia dan remaja. Lumrah generasi muda, dahagakan hiburan. Sebaliknya layu jika disogokkan dengan khutabah, ceramah agama atau leteran. Justeru, kita wajar mendidik mereka melalui hiburan juga. Asalkan ia tidak melalaikan mereka dari mengingati Tuhan.

Namun, sebagai orang yang baru sahaja sedar, sudah tentu karya mereka menampakkan kelemahan dari segi isi kandungan. Isi dan bahan yang lemah turut melemahkan karya sekalipun aspek pembikinannya mantap. Dalam hal ini, pengamal perlu mendekatkan diri dengan orang berimu di luar gelanggang. Orang berilmu pula perlu mendekati gelanggang ini dengan ikhlas, bukan menjauhinya atas dasar ia adalah maksiat. Bukan menghukum. Bukan menghina. Bukan juga untuk ‘tunjuk terrer’ semata-mata. Pengamal pula perlu membuang ego. Mereka wajib menerima nasihat, teguran dan kritikan dengan minda terbuka, penuh keinsafan. Seterusnya, pengamal mengambil langkah-langkah untuk berubah demi melahirkan karya yang lebih membina insan. Kesedaran semata-mata tanpa disusuli dengan ilmu, tidak mungkin menjayakan hasrat ini.

Apa pun, di kalangan golongan berilmu, ramai yang lebih selesa mengkritik berbanding menasihati. Jauh sekali untuk membangunkan sesuatu idea atau konsep. Usaha menterjemahkan idea menjadi konsep dan kemudiannya skrip, sangat kurang melibatkan orang yang benar-benar berilmu. Lantaran itu, di layar, kita masih melihat kelemahannya walaupun kesedaran agama sudah kelihatan.

Bukan mudah untuk membuat perubahan. Kita tidak boleh mengharap kepada pengamal sedia ada untuk berubah. Ia memakan masa yang lama untuk menjadi kenyataan. Atau mungkin langsung tidak menjadi kenyataan. Industri ini hanya akan berubah sekiranya orang berilmu lebih ramai turun bersilat di dalam gelanggang ini.

4 ulasan:

Samhani berkata...

Setuju dengan Puan.. orang berilmu perlu belajar buat skrip.. Seperti juga kami yang berasal daripada sekolah aliran agama, tidak pernah terdedah dengan penulisan-penulisan skrip. Mungkn kami harus belajar sendiri, tapi itu memerlukan usaha yang bukan sedikit. Menulis itu juga jihad. Mohon tunjuk ajar, saya amat berminat

MARSLI N.O berkata...

Salam Sdri Maizura: Baru ketemu blog ini. Harap izinkan saya membaca dan mengutip mutiara di sini.

marslino@yahoo.com

Maizura Mohd Ederis berkata...

Salam Samhani & Marsli N.O,

Tks krn kunjungi blog ini. Entri sy yg terbaru dalam blog Tangisan Bulan Madu pula adalah berkaitan dengan saranan Siti Jarum untuk adaptasi cerpen Apabila Alam Berbicara karya Rozais al-Anamy. Lihat dalam
www.tangisanbulanmadu.blogspot.com

OrenKL berkata...

Saya setuju...
saya sebagai penulis skrip amat berbangga dengan artikel yang saudari kemukakan. Bila saya membaca artikel ini ,saya mendapati pemikiran saudari ibarat suatu suara kepada kami semua sebagai pembikin filem untuk bangkit dengan suara masyarakat untuk menghasilkan seni untuk kepentingan masyarakat.
walaubagaimanapun, saya suka artikel ini.sekian. terima kasih.

Kitamajufilem.blogspot.com