Selasa, 4 November 2008

FILEM & DRAMA I : RAJUK DAN KECEWA HALANG MISI DAKWAH

(Artikel ini tersiar dalam majalah Muslimah - kolum Maizura Menulis, keluaran September 2008, tetapi dipendekkan untuk menyesuaikan dengan medium blog)


Saya adalah pengamal filem dan drama Melayu yang jarang bercakap tentang industri yang saya ceburi. Kenapa saya lebih suka membisu? Berkemungkinan kerana terlalu banyak yang hendak diperkatakan sehingga tidak terkata jadinya.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir, membuatkan saya terpanggil untuk bersuara. Sejak akhir-akhir ini, permintaan untuk drama Melayu meningkat mendadak berikutan bertambahnya saluran televisyen. TV9 contohnya, merupakan stesyen baru berbahasa Melayu sepenuhnya yang mensasarkan penonton luar bandar. Stesyen sedia ada seperti Astro pula membahagikan saluran berbahasa Melayu kepada tiga iaitu Ria, Prima dan Oasis. Ria mensasarkan belia dan remaja Melayu di kawasan bandar. Prima mensasarkan penonton matang berbahasa Melayu merangkumi bandar dan luar bandar. Sementara Oasis khusus untuk rancangan Islamik. Saluran yang sudah lama bertapak kukuh seperti TV1, TV2 dan TV3 semakin menambahkan slot rancangan Melayu. Tahun lalu, RTM mengumumkan akan mengurangkan program import dari luar dan melebihkan program tempatan. 8TV yang mensasarkan penonton bukan Melayu dan NTV7 yang mensasarkan penonton bandar turut menambah drama Melayu tetapi wajahnya mesti lah berbilang bangsa dan 'urban'.

Perkembangan yang sama berlaku kepada filem. Lima tahun dahulu, susah hendak mendapat 12 filem setahun sehingga kerajaan terpaksa masuk campur dalam menrealisasikannya. Sekarang, angka 12 bukan lagi satu masalah.

Apa pun, kepesatan industri filem dan drama Melayu tempatan membawa satu lagi persoalan baru. Aspek agama yang sangat kurang. Keadaan ini berpunca daripada kesedaran agama yang kurang di kalangan pengamal. Pengamal yang saya maksudkan adalah orang penting yang menjadi penentu, pencorak atau ‘decision maker’ dalam sesebuah karya. Mereka terdiri daripada eksekutif stesyen televisyen, penerbit, pengarah dan penulis skrip. Memang benar ada sedikit kesedaran agama sejak akhir-akhir ini, tetapi ia tidak menyeluruh. Kita masih belum menemui gabungan stesyen-penerbit-pengarah-penulis yang mantap dalam menghasilkan sesebuah karya. Sedangkan gabungan mantap empat pemain utama ini lah yang mampu mengubah industri. Perlu ingat bahawa sebarang perubahan mesti lah datang dari dalam.

Berkemungkinan inilah yang menarik penerbit cikgu Abu Hassan Morad untuk terus berada dalam industri. Bagi saya ‘istiqomah’ lebih penting daripada anugerah, karya besar atau pengiktirafan manusia. Saya melihat beliau konsisten dalam menghasilkan karya agama yang diterima oleh stesyen. Kata kunci di sini ialah ‘konsisten’ dan ‘diterima’. Ramai yang mahu berkarya tentang agama tetapi idea dan konsep mereka ditolak mentah-mentah oleh eksekutif stesyen. Ramai yang kecewa, merajuk dan tidak lagi menghantar idea ke mana-mana stesyen. Ada yang keluar dari industri ketika berada di puncak kerjaya - di saat anugerah dan pengiktirafan berjaya diraih.

Apa puncanya? Banyak. Satu daripadanya, apabila stesyen mengabaikan idea yang berat dan menerima idea yang bercorak ringan, hiburan dan hantu-mantu. Selain itu, letih juga melayan sepak terajang industri. Tidak semua orang ‘kebal’ dan mampu bertahan dengan sepak terajangnya. Selain itu, turun naik industri ini juga sukar diramal. Namun, bila diadukan pada pengarah box-office Ahmad Idham, beliau secara bergurau berkata, "kalau takut dilanggar lori, jangan berteduh di bawah jambatan."

Industri ini serba serbi kekurangan dari segi idea, konsep, teknik pembikinan dan kewangan. Kami berkarya dalam industri yang kerdil sebenarnya. Masih menyentuh tentang perubahan, saya tertarik membaca luahan hati pengarah prolifik, Aziz M Osman dalam majalah Media Hiburan, keluaran bulan lepas. “Masuk gelanggang dan betulkan keadaan dari dalam.”

Namun, misi ini pudar apabila pengamal yang bersekedaran agama, seorang demi seorang, keluar meninggalkan industri ini. Soalnya, mampukah pengamal menyahut cabaran dakwah di saat kecewa dan rajuk sentiasa menolak mereka keluar dari gelanggang?

Tiada ulasan: