Ahad, 29 Jun 2008

RANCANGAN TV, IKLAN DAN PENONTON

Kapitalis adalah realiti dunia akhir zaman. Seperti juga globalisasi, kita tidak boleh menghalang kapitalis. Apa yang kita boleh lakukan ialah menanganinya. Apabila kita melihat terlalu banyak produk hiburan di TV, kita tahu ia adalah kerja puak-puak kapitalis. Sekiranya kita tidak menyukainya, jalan terbaik ialah mematikan TV. Ini cara mudah untuk penonton yang sedar. Gantikan masa menonton dengan membaca buku berkualiti atau berjogging di taman. Amalan ini baik kerana ia dapat meningkatkan keupayaan otak kiri dan otak kanan. Sedangkan menonton TV hanya merangsang otak kanan tetapi mematikan otak kiri. Otak kiri yang statik menyebabkan manusia kehilangan logik dan perincian terhadap sesuatu perkara. Paling afdal untuk manusia ialah menggerakkan atau merangsang penggunaan otak kiri dan otak kanan sepanjang masa demi sebuah kehidupan yang lebih berkualiti.

Namun, bagi para pengkarya televisyen, mampu mereka menangani kapitalis? Jawapannya, kadang-kadang boleh, kadang-kadang tidak. Apa pun, kita perlu berusaha menyuntik apa yang kita rasa perlu di sana sini. Sebagai contoh, membawakan persoalan agama dalam drama komedi Astro Ria. Dalam membuatkan remaja bandar ketawa, kita masih boleh memberitahu sesuatu tentang agama Islam.

Stesyen TV swasta ditubuhkan dengan tujuan mengaut keuntungan maksima. Sebahagian besar pendapatan datangnya dari iklan. Tidak kira samada paid-TV seperti Astro atau government-TV seperti RTM, semuanya memerlukan iklan. Agaknya pendapatan dari “subscribers” tidak mencukupi untuk memberi keuntungan kepada Astro. Agaknya dana dari kerajaan tidak mencukupi untuk menampung operasi RTM. Dalam soal ini, tahu lah kita kenapa free-TV di bawah syarikat Media Prima sangat agresif dalam soal branding dan komersil. TV3, TV9, 8TV dan NTV7 lebih bergantung kepada pendapatan iklan. Mahal atau tidak iklan itu sangat bergantung kepada rating (jumlah) penonton. Sebagai contoh, drama bersiri Natasha yang menarik 4.7 juta penonton berupaya membawa masuk pendapatan iklan sebanyak RM500,000.00 seminggu. Setengah juta! Memang ada di kalangan intelektual yang mahu menghantukkan kepala ke dinding bila menonton Natasya. Apa pun 4.7 juta penonton gembira, stesyen TV gembira dan pengiklan pun gembira kerana jualan produk mereka meningkat. Anak saudara saya makan biskut cap ping pong setelah menonton Natasya. Anak saya pula mahukan gula-gula sour+ setelah menonton Tangisan Bulan Madu. Jadi, antara penonton, rancangan, stesyen dan iklan, semuanya saling mempengaruhi.

Sekarang, semua slot waktu prima (prime time) dikuasai oleh produk drama dan hiburan. Ia atas dasar mahu menarik lebih ramai penonton dan iklan. Sedangkan dahulu, stesyen TV swasta masih mempunyai tanggungjawab sosial. Sebagai contoh, 10 tahun dahulu, TV3 masih sudi menayangkan rancangan National Geographic pada waktu prima sedangkan rancangan itu tidak ramai penonton dan gagal menarik banyak iklan. Namun, TV3 tetap menayangkan atas nama tanggungjawab sosial. Sekarang, nampaknya tanggungjawab itu sudah berakhir.

Jadi, bagi seseorang pengkarya yang mahu menyertai industri ini, ada kala sesetengah idelogi dan prinsip harus digadaikan. Sesetengahnya perlu atau boleh dipertahankan. Pengkarya perlu bijak mengambil jalan tengah. Bagaimana memenuhi kehendak stesyen TV, penonton dan pada masa yang sama masih berpegang kepada prinsip dan misi diri sendiri? Sekiranya pengkarya itu seorang penulis skrip, dia juga perlu berkompromi dengan kehendak penerbit dan pengarah. Di sini lah letaknya kebijaksanaan dalam menangani kapitalis. Contohnya bagaimana menulis dialog agama secara santai dan bersahaja dalam drama komedi? Jawapannya, bergantung kepada bakat, pengalaman, kemahiran berkomunikasi dan kefahaman pengkarya itu sendiri. Tidak ada garis panduan samada A, B, C, D dalam menangani isu ini.

1 ulasan:

Izart berkata...

saya cukup menyampah rancangan siaran tv3 yang mempunyai unsur2 sex sahaja...sebagai contoh pernah tv3 keluarkan paparan penggunaan pil atau ubat khayal dalam hubungan sex, dan satu lagi alat2 sex sebagai topik...satu lagi iklan, iklan lurve yang ada pompuan dalam kereta kat tepi semak makan lurve dan kereta bergoyang2 kerana nikmat lurve? satu lagi iklan saya suka lobang (iklan mencarut yang memang mengajak umat islam buat maksiat!)