Ahad, 29 Jun 2008

FENOMENA SENI - FILEM KITA TANDUS AGAMA? BAHAGIAN III

Rancangan bual bicara 13 Jun itu nampaknya meminggirkan kemungkinan agama disampaikan melalui genre komedi, aksi atau romantik. Kesemua ahli panel lebih menumpukan kepada filem bertemakan agama dalam genre drama berat (heavy drama). Ini jelas apabila mereka bercakap tentang filem Iran dan dua judul filem Malaysia, Tsu-Feh Sofiah dan Syukur 21. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa penerbit dan penonton di Malaysia keberatan untuk menerima genre ini, apatah lagi yang bertemakan agama seratus peratus. Apa yang kerap diterbitkan di Malaysia adalah genre komedi, aksi dan romantik. Temanya pula lebih menjurus ke arah cinta, keluarga dan baik lawan jahat. Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh memasukkan wajah atau jiwa agama dalam genre ini.

Pengkarya filem pop Hollywood kerap kali melakukannya. Ada banyak. Antaranya French Kiss (romantik), Forest Gump (komedi) dan Matrix (aksi). Tidak hairan lah kalau di sana ada para pengulas filem yang akan mengulas filem-filem pop itu dari perspektif agama Kristian. ‘Jesus in Pop Culture’ bukan perkara asing. Kita lihat ada kecenderungan pengkarya Hollywood untuk mengangkat Isa al-masih sebagai anak Tuhan dan penyelamat ummah sekalipun dalam filem komedi, romantik atau aksi. Namun, kita jarang mengangkat nabi Muhammad. Apa lagi untuk memperbetulkan akidah yang salah. Contohnya memberitahu bahawa Isa al-Masih bukan anak Tuhan, tetapi anak Maryam. Ajaran nabi Muhammad masih boleh disampaikan sekalipun dalam filem komedi, aksi atau romantik. Namun, apa yang pengkarya kita faham sekarang, kita perlu menyebut sabda nabi hanya dalam filem bertemakan agama yang dipersembahkan dalam genre drama berat semata-mata. Ini adalah satu salah faham yang nyata.

Pengkarya kita perlu lebih realistik. Menerima hakikat bahawa penerbit dan penonton enggan menerima genre drama berat, tentu ada pendekatan lain untuk membolehkan kita berdakwah (atau berjihad) melalui filem. Pendekatan ini lah yang jarang difikirkan oleh karyawan kita. Kita samada terlalu ideal sehingga enggan menggadaikan sesetengah prinsip atau terlalu komersil sehingga sanggup menggadaikan semua prinsip. Jarang kita mengambil pendekatan yang di tengah-tengah.

2 ulasan:

MyLifeJournal berkata...

Assalamualaikum,
Kata-kata Kak Maizura tepat sekali. Namun ingin saya terangkan bahawa kadangkala kita ingin mencipta satu cerita yang mempunyai nilai yang kita inginkan namun penulis seperti saya yang terpaksa mematahkan impian dan mengikut susunataur yang diberikan oleh pihak produksi. Tambahan pula produksi yang hanya inginkan keuntungan semata-mata tanpa menilai baik buruk sesuatu cerita. Itu yang saya rasa sekarang. Saya terpaksa melupakan hasrat saya kerana saya bekerja di bawah orang yang akan memantau kerja saya dan jika tiada nilai komersial dicantas. Itu yang sangat saya kesalkan. Saya perlukan senior untuk membimbing saya agar saya tahu saya berada di landasan yang betu. Terima kasih

Maizura Mohd Ederis berkata...

Dik, ini perkara biasa dalam industri. Ini lah juga faktor yang menolak org2 seperti adik untuk keluar daripada industri. Tak tahan dgn tuntutan komersil yang datang dari peneraju industri yakni stesyen TV dan pengiklan2. Ramai pengkarya senior yg bagus2 keluar kerana tak tahan. Namun, jika semua org yang berkesedaran keluar dr industri, siapa pula yang akan terus ada di dalam industri utk mengubah rupa dan hala tuju industri ini? Semua orang kata industri ini perlu diubah dari dalam. Sy takut nak sebut perkara ini krn takut tak mampu buat. Tapi kalau kita tak buat, siapa lagi hendak buat? Sy harap adik akan terus berkarya dalam realiti dan batasan yang menyakitkan seperti ini. Bila kita berfikir tentang memberi nilai yang baik seiring dengan tuntutan komersil (kapitalis), di sini lah timbulnya 'kreativiti'. Maknanya kita kena kreatif dalam menyeimbangkan kehendak kapitalis itu. Biar apa yg kita sampaikan itu sedikit, yg penting ia sampai. Ingat lah ayat, "sampaikan lah kebenaran walau dengan satu ayat". Maaf, lupa pulak ayat ni hadis ke Quran. Tapi sy selalu dengar org dakwah cakap begini. Org Kristian pulak dah lama buat ini.

Bertahan lah selama mana boleh bertahan dalam industri. Istiqomah itu penting. Biar sedikit-sedikit, asalkan berterusan. Jangan fikir anugerah dan pengiktirafan, itu semua faktor yang boleh mengecewakan.