Ahad, 29 Jun 2008

IDEA PITCH...

Sebagai penulis skrip, antara kerja wajib ialah IDEA PITCH. Maksudnya menulis kertas cadangan yang disebut sebagai “concept paper” untuk dinilai oleh stesyen TV. Kertas kerja itu mengandungi judul, tema, genre, durasi, sinopsis, watak, perwatakan dan cadangan pelakon (casting). Saya biasanya menulis cerita yang ada sentuhan agama. Namun, dalam 10 tajuk yang dihantar, biasanya satu sahaja yang mendapat perhatian orang yang membacanya. Dalam kebanyakan kes, perlu pembentangan di depan eksekutif kalau TV swasta atau pegawai kalau TV kerajaan. Suspen. Cuba sampaikan yang terbaik walaupun nervous. Kemudian, ada soal jawab. Perlu bersedia secukupnya untuk menjawab soalan-soalan mencabar dengan cara meyakinkan. Apabila keputusannya negatif, ah, sedihnya... Sia-sia segala usaha.

Bukan senang untuk kerjakan 10 konsep cerita, sedangkan satu pun tidak sangkut. Setelah sembuh dari kesedihan, tulis lagi konsep baru, cerita baru. Bentang lagi. Ditolak lagi. Biasanya, setelah ditolak, saya akan tulis semula (re-write) dan hantar ke stesyen lain pula. Ada kemungkinan setelah ditulis semula banyak kali, konsep dan cerita itu menjadi bertambah mantap. Ada kemungkinan stesyen lain akan menyukainya. Kalau terima, Alhamdulillah. Baru lah boleh tersenyum lega.

Langkah-langkah ini berlaku pada kertas kerja Tangisan Bulan Madu. Karya ini merupakan karya adaptasi daripada novel ‘meletup’ tulisan Samsiah Mohd Nor. Stesyen tidak peduli samada novel itu mempunyai ramai pembaca atau ditulis oleh pengarang terkenal. Apa yang mereka lihat ialah bagaimana kita mempersembahkan konsep, tema dan sinopsis dalam dua muka surat. Dua muka surat sahaja! Itu sahaja yang kita perlu untuk “pitching job”. Kalau apa yang kita tulis dalam dua mukasurat itu teruk, teruk lah jawapannya.

Dalam satu blok idea pitch oleh TV9 baru-baru ini, eksekutif stesyen berkenaan menerima 143 konsep cerita. Daripada jumlah itu, hanya 12 yang dipanggil untuk pembentangan di depan CEO Media Prima, CEO TV9 dan eksekutif-eksekutifnya. Daripada jumlah itu, hanya sembilan yang datang ke pembentangan di sebuah hotel bertaraf lima bintang. Daripada sembilan, satu syarikat produksi menarik diri dengan cara meninggalkan dewan sebelum nama syarikat mereka dipanggil. Daripada lapan yang dibentangkan, entah berapa konsep yang diterima.

Konsep yang saya bentangkan termasuk dalam kategori ditolak dengan alasan “ia cerita berat”. Ceritanya ala-ala cerita The Pursuit of Happyness lakonan Will Smith. Ia adalah idea pelakon terkenal, Lis Dawati tetapi Lis Dawati tidak pernah menonton filem ini sebelum menulis cerita ini.

Kadang-kadang, pembentangan kita yang menampakkan bahawa konsep itu berat. Padahal kita sudah rancang mahu mempersembahkannya secara ringan. Pengajarannya, untuk menjadi penulis skrip, kemahiran menulis sahaja tidak mencukupi. Kemahiran “public speaking” juga sama pentingnya. Kadang-kadang kertas cadangan kita melepasi pusingan pertama yakni dipanggil untuk pembentangan. Akan tetapi ‘kantoi’ di pusingan kedua iaitu di peringkat pembentangan.

Apa-apa pun, jangan tulis cerita agama yang berat-berat untuk slot drama Melayu.

4 ulasan:

MyLifeJournal berkata...

Terima kasih Kak Maizura,tulisan yang bukan sedikit tetapi banyak boleh membantu saya memantapkan tulisan dan skill bercakap di depan orang ramai. Terima kasih!

iwuzere berkata...

assalamualaikum...
kalau tak keberatan boleh tak kasi contoh macam mana rupa bentuk pitch tu??thanx

Maizura Mohd Ederis berkata...

Untuk membolehkan kita dipanggil ke sesi idea pitch, kita terlebih dahulu kena hantar kertas konsep kpd stesyen.

Concept paper biasanya mengandungi maklumat mengenai :

1. tajuk

2. genre - komedi? drama + komedi (dramidi)? melodrama? heavy drama?

3. tema - keluarga? cinta? agama? Baik lwn Jahat? aksi? seram?

4. durasi - telemovie 90 minit? atau drama bersiri 45 minit x 13/26 episod atau 25 min x 13/26 episod?

5. sinopsis

6. Watak utama dan perwatakan.

7. lokasi,

8. Cadangan pelakon.

9. Mesej/pengajaran/moral utk penonton. (tidak semestinya ada. Sy sendiri tak suka tulis mesej-mesej ni, biar lah penonton saja yg tentukan mesejnya nanti.)

Kesemua maklumat ini perlu padat, dalam 2-5 mukasurat saja. Tak boleh panjang-panjang krn eksekutif stesyen terlalu sibuk. Berikan satu idea atau konsep yang segar, mudah faham walaupun dengan dibaca sepintas lalu. Di peringkat ini, kemahiran menulis sangat penting. Salah tulis, mrk tak akan berminat. Tajuk sangat penting. Mrk cenderung utk baca tajuk2 yg menarik dan sedap.

Setelah mereka berminat, baru lah stesyen akan panggil untuk sesi pembentangan dan soal jawab tentang idea itu. Pd waktu ini, kemahiran menulis tidak lagi perlu. Yang penting ialah kemahiran bercakap. Perlu meyakinkan mrk kenapa mrk "wajib" terima idea ini. Sy pernah gagal pada peringkat ini.

Selamat mencuba.

kaizen berkata...

Salam Maizura,

Adakah ini akan berubah setelah berlakunya fenomena Nur Kasih?

Syabas di atas kejayaan Nur Kasih!