Rabu, 23 April 2008

RASUAH – BUKAN ISU INDIVIDU ATAU PARTISAN

Prinsip asas dalam Islam mudah sahaja. Apa-apa yang beri keuntungan pada “seorang” saja, ia dianggap tidak betul. Apa-apa yang beri keuntungan pada “semua orang”, ia betul.

Rasuah tidak betul kerana ia menguntungkan “seorang” atau “sekelumpuk” yang melakukannya. Namun, ia merugikan “ramai orang” yang tidak melakukannya. Islam melarang rasuah atas dasar ia boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat. Masyarakat bermakna “orang ramai”.

Namun begitu, kesan buruk rasuah kurang ketara dalam sesebuah ekonomi yang stabil. Apabila ekonomi meleset, baru lah rasuah akan menampakkan kesan-kesan negatif . Contohnya, pada 1997, akibat rasuah yang teruk di kalangan pemimpin Indonesia, rupiah jatuh lebih teruk drp RM. Warganya hilang kerja dan tempat tinggal. Mereka pun membanjiri jalan raya dan berjaya membuang Presiden dari takhta. Alhamdulillah, di Malaysia pada waktu itu, keadaan tidak begitu buruk. Kalau ada pun, hanya dalam bentuk kerugian beberapa syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan (GLC). Pun begitu, rakyat masih ada pekerjaan, makanan dan tempat tinggal. Lalu pemimpin kita pun selamat dari dibuang dari takhta…

Ekonomi Malaysia yang agak stabil menyebabkan ada rakyat tidak peduli. Mereka menganggap isu rasuah adalah isu “individu”. Ini bermakna, pada pandangan mereka, mudarat rasuah hanya pada pelakunya sahaja. Itu pun ketika di akhirat kelak iaitu dihukum oleh Allah. Jadi, rasuah tidak ada kena mengena dengan diri mereka dan keluarga mereka.

Tidak kurang juga yang menganggap isu rasuah adalah isu “Anwar Ibrahim”. Jadi, sesiapa yang bercakap tentang rasuah adalah penyokong Anwar Ibrahim. Sebenarnya, tidak semua penentang rasuah adalah penyokong PKR. Ada yang menentang rasuah atas dasar ia boleh memberi mudarat kepada masyarakat sekiranya berlaku musibah ekonomi. Ini terbukti di negara-negara korup seperti di Amerika Latin dan Afrika yang tidak stabil. Selalu sahaja berlaku krisis kejatuhan nilai wang, bank ‘bankrap’, pendeposit hilang wang, kekurangan bekalan makanan, inflasi dan pengangguran. Sebaliknya di negara korup yang kaya seperti Timur Tengah, kesan negatif rasuah tidak begitu ketara. Pun begitu, rasuah tetap satu ancaman sekiranya berlaku krisis politik seperti di Iraq.

Ada yang menentang rasuah atas dasar Islam melarangnya. Golongan ini adalah golongan yang mematuhi perintah dan larangan Tuhan. Tapi mereka tidak pula peduli hendak mengkaji rasional di sebalik perintah dan larangan itu. Yang peliknya, bila mereka menyebut Islam, ada yang menganggap mereka penyokong PAS pula. Sebenarnya, tidak semua penyokong perintah & larangan Tuhan adalah penyokong PAS.

Ini lah dilema seorang non-partisan bila mahu bercakap tentang rasuah ketika demam PRU12 masih belum kebah-kebah lagi.

Tiada ulasan: