Rabu, 23 April 2008

KELANTAN LAWAN HEGEMONI DOLAR

Dalam Islam tidak ada konsep, “biar lah mereka jahat, jangan kita jahat sudah.” Dalam Islam, kita mesti jadi baik dan ajak orang lain jadi baik sama. Kalau nampak orang jahat, kita kena tentang mereka. Kalau tidak, aktiviti mereka akan memberi tempias kepada kesejahteraan hidup kita semua. Sebagai contoh, di waktu-waktu kelembapan ekonomi, tindak-tanduk pelaku rasuah dan riba, walaupun jumlah mereka kecil, akan memberi kesan negatif kepada ramai anggota masyarakat.

Tapi dalam melakukannya, kita kena realistik. Dalam kes Malaysia contohnya, kita boleh buang pemimpin rasuah melalui pilihanraya. Akan tetapi dalam sesetengah kes, kita tidak boleh menentang langsung. Sebagai contoh, kita tidak boleh jumpa bos IMF dan berkata,

“Eh, apa yang awak buat ni salah. Cara ini haram ikut agama kami. Agama kami agama yang benar. Nanti Tuhan kami marah. Kalau dia marah, akan jadi lah musibah ekonomi besar-besaran.
Ha..ha...cara ini sungguh tidak realistik.

Justeru, idea yang lebih realistik adalah “Kembali Kepada Emas” atau “Back To Gold”. Kembali kepada emas bermakna cuba untuk menjauhi wang kertas dan wang elektronik. Hanya emas dan perak dapat :

* melawan inflasi,
* menghalang penjanaan riba,
* menghalang serangan matawanG,
* mengembalikan kestabilan ekonomi.

Orang kafir yang tidak percaya Tuhan pun kembali kepada emas. Niat mereka untuk menyelamatkan harta dunia. Vatican City, pusat pemerintahan Kristian menyimpan derma orang ramai dalam bentuk emas. Juga dengan niat untuk selamat di dunia.

Namun, orang Islam agak terlewat dalam soal ini. Gagasan Kembali Kepada Emas hanya muncul pada tahun 1990-an. Malaysia melalui usaha Tun Dr M pun lambat menyertai gagasan ini. Setelah serik terkena “badi’ ekonomi Asia, Dr M memwar-warkan idea penyelesaian baki dagangan menggunakan emas pada 2001. Sayang sekali, idea beliau gagal dilaksanakan.

Kenapa gagal? Jawapannya kerana halangan dari undang-undang monetory antarabangsa. Ikut undang-undang ‘mereka’, semua negara boleh menukar barang dengan apa jua komoditi tetapi jangan emas. (NOT GOLD!) Maknaya Malaysia boleh bagi rambutan pada Arab Saudi. Tapi Malaysia tidak boleh bagi emas. Vice versa. Soalnya, siapa yang mahukan rambutan atau unta-unta padang pasir itu?

Kemudian, Dr M menyepi diri. Al-Jazeera menuduh dia “melarikan diri” dari gagasan ini. Seperti biasa, Dr M meletakkan kesalahan ini kepada Arab Saudi yang takut pada Amerika.

Bagaimanapun, muncul Dinar Emas Kelantan pada 2006. Tujuannya untuk menggalakkan rakyat menjadikan emas sebagai alat simpanan/tabungan, zakat, mas kahwin , hadiah dan cenderamata. Sekalipun Kelantan agak lewat menyertai gagasan ini, tetapi usaha Kelantan lebih praktikal.

Setakat ini belum ada undang-undang yang melarang orang persendirian menyimpan emas. Atau menukar barang dengan emas secara “suka sama suka”. Tapi kalau emas dijadikan “legal tender”, ini memang salah besar. Sebagai contoh, Ahmad hendak beli printer daripada Budin dengan harga RM420. Ahmad membayar Budin dengan sekeping dinar emas. Budin rela hati menerimanya. IMF tidak boleh menangkap Ahmad dan Budin kerana mereka tidak mengisytiharkan emas sebagai ‘legal tender’.


Sekiranya semua org buat seperti Ahmad dan Budin, pergantungan terhadap duit kertas akan berkurangan. Cara ini dapat mengurangkan inflasi. Duit emas dan perak adalah kalis inflasi. Setakat ini, ini lah sahaja cara yang Kelantan boleh fikirkan untuk melawan hegemoni Dolar Amerika.

Salah seorang tenaga penggerak gagasan ini, Umar Vadillo menyalahkan Tun Dr M kerana tidak mengambil langkah-langkah seperti Kelantan sejak awal lagi. "Mahathir buat silap. Silap dia tidak suruh rakyat Malaysia simpan dinar. Kalau lah lima tahun dulu rakyat Malaysia sudah ada dinar..."

Tiada ulasan: