Rabu, 24 September 2008

ZAKAT GUNA WANG KERTAS...SAH ATAU TIDAK?

Pada zaman dahulu, orang Islam membayar zakat menggunakan benda yang bernilai. Contohnya, makanan ruji sesebuah negara, hasil ternakan, emas atau perak. Semua mazhab dalam Islam menegaskan bahawa zakat perlu dibayar dalam bentuk tunai. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai 'ayn'. Atas dasar itu, dari segi hukum Fekah, bayaran tunai bermaksud bayaran dengan benda bernilai. Lawan kepada pembayaran tunai (ayn) adalah pembayaran dalam bentuk hutang atau surat aku janji. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai 'dyan'.

Semenjak abad ke-19, masyarakat Islam mula menggunakan wang kertas dalam urusan harian (termasuk zakat) kerana menyangka bahawa wang kertas adalah benda tunai ('ayn'). Padahal wang kertas hanya lah surat aku janji ( I owe U). Memasuki abad ke-20, wang kertas tidak lagi terikat dengan nilai intrinsik sebagaimana dahulu. Tiada ikatan antara emas dan USD, menyebabkan mata wang kertas semua negara kehilangan nilai dan mudah diserang oleh spekulator matawang. Pergolakan ekonomi sekarang boleh menyebabkan wang kertas, pada bila-bila masa sahaja, menjadi tidak bernilai. Dalam kata lain, perkembangan ekonomi dunia terkini mengesahkan bahawa nilai yang tercetak pada wang kertas setiap negara hanya lah tidak lebih dari angka semata-mata, tiada jaminan nilai di sebalik angka itu.

Isu ini menimbulkan satu persoalan - adakah zakat sah bila dibayar menggunakan kertas aku janji atau 'dyan'? Seawal kurun ke-19, ulama di Universiti al-Azhar Mesir, Syakh 'Illaysh sudah pun menulis tentang ini. Katanya, hanya satu cara untuk membayar zakat menggunakan wang kertas ialah dengan menyifatkannya sebagai 'ayn'. Namun, dalam ekonomi yang dikuasai oleh kapitalis barat sekular sekarang, mustahil untuk kita menyifatkannya sebagai 'ayn'. Wang kertas ternyata hanya lah sekeping kertas atau nota janji semata-mata. Ia hanya sah apabila pihak yang mengeluarkannya memperakuinya sebagai sah. Dan pada bila-bila masa, ia boleh menjadi tidak sah atau tidak laku.

Ini satu persoalan yang menarik untuk difikirkan oleh umat Islam. Dalam pada memikirkan tentang akidah, amal ibadat khusus, isu mahkamah syariah dan perundangan Islam yang tercabar di Malaysia, ada satu lagi perkara yang jarang sekali difikirkan. Ia tentang sistem ekonomi dan urusniaga yang tepat lagi betul dari segi hukum Islam.

Tiada ulasan: