Rabu, 24 September 2008

ZAKAT...SATU IBADAH PENTING

Zakat adalah rukum Islam ke-empat. Dalam Quran, Allah sentiasa menggabungkan zakat dengan solat dalam satu ayat. Allah menyebut solat dahulu kemudian diikuti dengan zakat. Ini bermakna zakat adalah satu ibadah penting sebagaimana solat.
Selain itu, zakat adalah diambil, bukan diberi. Dalam Surah At-Taubah, Allah berkata, "ambil lah daripada harta mereka". Ini bermakna Allah menyuruh pemerintah mengambil sebahagian daripada harta orang kaya untuk diagihkan kepada orang miskin. Pada zaman kegemilangan Islam, pemerintah cukup sedar tentang perintah ini. Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan khalifah Islam ke-2, Saidina Abu Bakar, beliau mengisytiharkan perang kepada sesiapa yang degil tidak mahu mengeluarkan zakat. Pada zaman Umar Abd Aziz, tidak ada orang yang miskin kerana semua orang kaya mengeluarkan zakat dan ia diagih-agihkan oleh pemerintah dengan adil dan saksama.

Namun, zaman sekarang bukan lah zaman kegemilangan Islam. Sebaliknya zaman kemerosotan Islam. Orang Islam tidak menganggap zakat sebagai ibadah penting seperti solat. Sebaliknya menganggap zakat seperti sedekah biasa. Pemerintah pula tidak menjalankan penguatkuasaan ke atas mereka yang enggan menunaikan zakat.

Artikel ini dipetik dari Kenyataan Akhbar Akademi Muamalah Malaysia Sdn Bhd. Pengerusinya adalah Ir. Umar Azmon Amir Hassan. Akademi ini ditubuhkan untuk mengembalikan cara muamalah yang tepat lagi betul berdasarkan hukum Islam. Ia beralamat di Lot 408-B, Kompleks Diamond, Bangi Business Park, Jalan Medan Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Nombor telefon : 03-8210 1933, Faks : 03-8210 1733, e-mel : ypilmu@yahoo.com

ZAKAT GUNA WANG KERTAS...SAH ATAU TIDAK?

Pada zaman dahulu, orang Islam membayar zakat menggunakan benda yang bernilai. Contohnya, makanan ruji sesebuah negara, hasil ternakan, emas atau perak. Semua mazhab dalam Islam menegaskan bahawa zakat perlu dibayar dalam bentuk tunai. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai 'ayn'. Atas dasar itu, dari segi hukum Fekah, bayaran tunai bermaksud bayaran dengan benda bernilai. Lawan kepada pembayaran tunai (ayn) adalah pembayaran dalam bentuk hutang atau surat aku janji. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai 'dyan'.

Semenjak abad ke-19, masyarakat Islam mula menggunakan wang kertas dalam urusan harian (termasuk zakat) kerana menyangka bahawa wang kertas adalah benda tunai ('ayn'). Padahal wang kertas hanya lah surat aku janji ( I owe U). Memasuki abad ke-20, wang kertas tidak lagi terikat dengan nilai intrinsik sebagaimana dahulu. Tiada ikatan antara emas dan USD, menyebabkan mata wang kertas semua negara kehilangan nilai dan mudah diserang oleh spekulator matawang. Pergolakan ekonomi sekarang boleh menyebabkan wang kertas, pada bila-bila masa sahaja, menjadi tidak bernilai. Dalam kata lain, perkembangan ekonomi dunia terkini mengesahkan bahawa nilai yang tercetak pada wang kertas setiap negara hanya lah tidak lebih dari angka semata-mata, tiada jaminan nilai di sebalik angka itu.

Isu ini menimbulkan satu persoalan - adakah zakat sah bila dibayar menggunakan kertas aku janji atau 'dyan'? Seawal kurun ke-19, ulama di Universiti al-Azhar Mesir, Syakh 'Illaysh sudah pun menulis tentang ini. Katanya, hanya satu cara untuk membayar zakat menggunakan wang kertas ialah dengan menyifatkannya sebagai 'ayn'. Namun, dalam ekonomi yang dikuasai oleh kapitalis barat sekular sekarang, mustahil untuk kita menyifatkannya sebagai 'ayn'. Wang kertas ternyata hanya lah sekeping kertas atau nota janji semata-mata. Ia hanya sah apabila pihak yang mengeluarkannya memperakuinya sebagai sah. Dan pada bila-bila masa, ia boleh menjadi tidak sah atau tidak laku.

Ini satu persoalan yang menarik untuk difikirkan oleh umat Islam. Dalam pada memikirkan tentang akidah, amal ibadat khusus, isu mahkamah syariah dan perundangan Islam yang tercabar di Malaysia, ada satu lagi perkara yang jarang sekali difikirkan. Ia tentang sistem ekonomi dan urusniaga yang tepat lagi betul dari segi hukum Islam.

HARI ULANG TAHUN

Semalam, 22 September, birtday saya. Tapi saya terlupa. Sibuk menghubungi wartawan untuk liputan Majlis Muamalah Malaysia (MMM) yang mengadakan program zakat harta menggunakan beras kepada golongan miskin di flat PPR Jalan Jelatek, dalam daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur. Akan tetapi, semua wartawan yang dijemput tidak hadir. Saya kecewa. Ketika majlis berlangsung, baru saya sedar tentang hari lahir apabila adik menghantar SMS. Biasanya, saya menyambut hari lahir dengan acara makan-makan bersama keluarga. Tahun ini tiada sambutan. Saya jalani hidup di hari istimewa seperti hari biasa yang lain. Sempat bermuhasabah sahaja. Selama 38 tahun hidup di dunia, saya rasa sumbangan pada masyarakat sangat lah kecil. Saya malu pada Allah. Allah berikan usia sepanjang ini tetapi tidak banyak perkara bermanafaat kepada ummah yang saya lakukan. Sejak usia 20 tahun, saya membabitkan diri dengan aktif dalam beberapa pertubuhan sukarela (NGO). Namun kecewa akhirnya bila mendapati NGO-NGO itu lebih bertujuan untuk menjaga kepentingan pemimpin berbanding berbakti kepada ummah. Tidak terkecuali memperalatkan agama untuk kepentingan duniawi. Saya kecewa, kesal dan sedih. Ternyata saya berjaya diperdaya oleh tokoh-tokoh yang pandai berpura-pura dan mempengaruhi. Kini saya bebas daripada mana-mana NGO. Namun tidak keberatan untuk membantu sesiapa atau mana-mana organisasi yang saya percaya kejujurannya. Buat masa ini saya mahu bersendirian, berfikir, bermuhasabah dan menilai orang atau perkara dengan mata hati. Al-maklum lah ramai sangat musang berbulu ayam sekarang. Mungkin ini agaknya azam hari lahir saya - mahu lebih berhati-hati dalam semua perkara.