Ahad, 29 Jun 2008

FENOMENA SENI - FILEM KITA TANDUS AGAMA? BAHAGIAN III

Rancangan bual bicara 13 Jun itu nampaknya meminggirkan kemungkinan agama disampaikan melalui genre komedi, aksi atau romantik. Kesemua ahli panel lebih menumpukan kepada filem bertemakan agama dalam genre drama berat (heavy drama). Ini jelas apabila mereka bercakap tentang filem Iran dan dua judul filem Malaysia, Tsu-Feh Sofiah dan Syukur 21. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa penerbit dan penonton di Malaysia keberatan untuk menerima genre ini, apatah lagi yang bertemakan agama seratus peratus. Apa yang kerap diterbitkan di Malaysia adalah genre komedi, aksi dan romantik. Temanya pula lebih menjurus ke arah cinta, keluarga dan baik lawan jahat. Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh memasukkan wajah atau jiwa agama dalam genre ini.

Pengkarya filem pop Hollywood kerap kali melakukannya. Ada banyak. Antaranya French Kiss (romantik), Forest Gump (komedi) dan Matrix (aksi). Tidak hairan lah kalau di sana ada para pengulas filem yang akan mengulas filem-filem pop itu dari perspektif agama Kristian. ‘Jesus in Pop Culture’ bukan perkara asing. Kita lihat ada kecenderungan pengkarya Hollywood untuk mengangkat Isa al-masih sebagai anak Tuhan dan penyelamat ummah sekalipun dalam filem komedi, romantik atau aksi. Namun, kita jarang mengangkat nabi Muhammad. Apa lagi untuk memperbetulkan akidah yang salah. Contohnya memberitahu bahawa Isa al-Masih bukan anak Tuhan, tetapi anak Maryam. Ajaran nabi Muhammad masih boleh disampaikan sekalipun dalam filem komedi, aksi atau romantik. Namun, apa yang pengkarya kita faham sekarang, kita perlu menyebut sabda nabi hanya dalam filem bertemakan agama yang dipersembahkan dalam genre drama berat semata-mata. Ini adalah satu salah faham yang nyata.

Pengkarya kita perlu lebih realistik. Menerima hakikat bahawa penerbit dan penonton enggan menerima genre drama berat, tentu ada pendekatan lain untuk membolehkan kita berdakwah (atau berjihad) melalui filem. Pendekatan ini lah yang jarang difikirkan oleh karyawan kita. Kita samada terlalu ideal sehingga enggan menggadaikan sesetengah prinsip atau terlalu komersil sehingga sanggup menggadaikan semua prinsip. Jarang kita mengambil pendekatan yang di tengah-tengah.

IDEA PITCH...

Sebagai penulis skrip, antara kerja wajib ialah IDEA PITCH. Maksudnya menulis kertas cadangan yang disebut sebagai “concept paper” untuk dinilai oleh stesyen TV. Kertas kerja itu mengandungi judul, tema, genre, durasi, sinopsis, watak, perwatakan dan cadangan pelakon (casting). Saya biasanya menulis cerita yang ada sentuhan agama. Namun, dalam 10 tajuk yang dihantar, biasanya satu sahaja yang mendapat perhatian orang yang membacanya. Dalam kebanyakan kes, perlu pembentangan di depan eksekutif kalau TV swasta atau pegawai kalau TV kerajaan. Suspen. Cuba sampaikan yang terbaik walaupun nervous. Kemudian, ada soal jawab. Perlu bersedia secukupnya untuk menjawab soalan-soalan mencabar dengan cara meyakinkan. Apabila keputusannya negatif, ah, sedihnya... Sia-sia segala usaha.

Bukan senang untuk kerjakan 10 konsep cerita, sedangkan satu pun tidak sangkut. Setelah sembuh dari kesedihan, tulis lagi konsep baru, cerita baru. Bentang lagi. Ditolak lagi. Biasanya, setelah ditolak, saya akan tulis semula (re-write) dan hantar ke stesyen lain pula. Ada kemungkinan setelah ditulis semula banyak kali, konsep dan cerita itu menjadi bertambah mantap. Ada kemungkinan stesyen lain akan menyukainya. Kalau terima, Alhamdulillah. Baru lah boleh tersenyum lega.

Langkah-langkah ini berlaku pada kertas kerja Tangisan Bulan Madu. Karya ini merupakan karya adaptasi daripada novel ‘meletup’ tulisan Samsiah Mohd Nor. Stesyen tidak peduli samada novel itu mempunyai ramai pembaca atau ditulis oleh pengarang terkenal. Apa yang mereka lihat ialah bagaimana kita mempersembahkan konsep, tema dan sinopsis dalam dua muka surat. Dua muka surat sahaja! Itu sahaja yang kita perlu untuk “pitching job”. Kalau apa yang kita tulis dalam dua mukasurat itu teruk, teruk lah jawapannya.

Dalam satu blok idea pitch oleh TV9 baru-baru ini, eksekutif stesyen berkenaan menerima 143 konsep cerita. Daripada jumlah itu, hanya 12 yang dipanggil untuk pembentangan di depan CEO Media Prima, CEO TV9 dan eksekutif-eksekutifnya. Daripada jumlah itu, hanya sembilan yang datang ke pembentangan di sebuah hotel bertaraf lima bintang. Daripada sembilan, satu syarikat produksi menarik diri dengan cara meninggalkan dewan sebelum nama syarikat mereka dipanggil. Daripada lapan yang dibentangkan, entah berapa konsep yang diterima.

Konsep yang saya bentangkan termasuk dalam kategori ditolak dengan alasan “ia cerita berat”. Ceritanya ala-ala cerita The Pursuit of Happyness lakonan Will Smith. Ia adalah idea pelakon terkenal, Lis Dawati tetapi Lis Dawati tidak pernah menonton filem ini sebelum menulis cerita ini.

Kadang-kadang, pembentangan kita yang menampakkan bahawa konsep itu berat. Padahal kita sudah rancang mahu mempersembahkannya secara ringan. Pengajarannya, untuk menjadi penulis skrip, kemahiran menulis sahaja tidak mencukupi. Kemahiran “public speaking” juga sama pentingnya. Kadang-kadang kertas cadangan kita melepasi pusingan pertama yakni dipanggil untuk pembentangan. Akan tetapi ‘kantoi’ di pusingan kedua iaitu di peringkat pembentangan.

Apa-apa pun, jangan tulis cerita agama yang berat-berat untuk slot drama Melayu.

RANCANGAN TV, IKLAN DAN PENONTON

Kapitalis adalah realiti dunia akhir zaman. Seperti juga globalisasi, kita tidak boleh menghalang kapitalis. Apa yang kita boleh lakukan ialah menanganinya. Apabila kita melihat terlalu banyak produk hiburan di TV, kita tahu ia adalah kerja puak-puak kapitalis. Sekiranya kita tidak menyukainya, jalan terbaik ialah mematikan TV. Ini cara mudah untuk penonton yang sedar. Gantikan masa menonton dengan membaca buku berkualiti atau berjogging di taman. Amalan ini baik kerana ia dapat meningkatkan keupayaan otak kiri dan otak kanan. Sedangkan menonton TV hanya merangsang otak kanan tetapi mematikan otak kiri. Otak kiri yang statik menyebabkan manusia kehilangan logik dan perincian terhadap sesuatu perkara. Paling afdal untuk manusia ialah menggerakkan atau merangsang penggunaan otak kiri dan otak kanan sepanjang masa demi sebuah kehidupan yang lebih berkualiti.

Namun, bagi para pengkarya televisyen, mampu mereka menangani kapitalis? Jawapannya, kadang-kadang boleh, kadang-kadang tidak. Apa pun, kita perlu berusaha menyuntik apa yang kita rasa perlu di sana sini. Sebagai contoh, membawakan persoalan agama dalam drama komedi Astro Ria. Dalam membuatkan remaja bandar ketawa, kita masih boleh memberitahu sesuatu tentang agama Islam.

Stesyen TV swasta ditubuhkan dengan tujuan mengaut keuntungan maksima. Sebahagian besar pendapatan datangnya dari iklan. Tidak kira samada paid-TV seperti Astro atau government-TV seperti RTM, semuanya memerlukan iklan. Agaknya pendapatan dari “subscribers” tidak mencukupi untuk memberi keuntungan kepada Astro. Agaknya dana dari kerajaan tidak mencukupi untuk menampung operasi RTM. Dalam soal ini, tahu lah kita kenapa free-TV di bawah syarikat Media Prima sangat agresif dalam soal branding dan komersil. TV3, TV9, 8TV dan NTV7 lebih bergantung kepada pendapatan iklan. Mahal atau tidak iklan itu sangat bergantung kepada rating (jumlah) penonton. Sebagai contoh, drama bersiri Natasha yang menarik 4.7 juta penonton berupaya membawa masuk pendapatan iklan sebanyak RM500,000.00 seminggu. Setengah juta! Memang ada di kalangan intelektual yang mahu menghantukkan kepala ke dinding bila menonton Natasya. Apa pun 4.7 juta penonton gembira, stesyen TV gembira dan pengiklan pun gembira kerana jualan produk mereka meningkat. Anak saudara saya makan biskut cap ping pong setelah menonton Natasya. Anak saya pula mahukan gula-gula sour+ setelah menonton Tangisan Bulan Madu. Jadi, antara penonton, rancangan, stesyen dan iklan, semuanya saling mempengaruhi.

Sekarang, semua slot waktu prima (prime time) dikuasai oleh produk drama dan hiburan. Ia atas dasar mahu menarik lebih ramai penonton dan iklan. Sedangkan dahulu, stesyen TV swasta masih mempunyai tanggungjawab sosial. Sebagai contoh, 10 tahun dahulu, TV3 masih sudi menayangkan rancangan National Geographic pada waktu prima sedangkan rancangan itu tidak ramai penonton dan gagal menarik banyak iklan. Namun, TV3 tetap menayangkan atas nama tanggungjawab sosial. Sekarang, nampaknya tanggungjawab itu sudah berakhir.

Jadi, bagi seseorang pengkarya yang mahu menyertai industri ini, ada kala sesetengah idelogi dan prinsip harus digadaikan. Sesetengahnya perlu atau boleh dipertahankan. Pengkarya perlu bijak mengambil jalan tengah. Bagaimana memenuhi kehendak stesyen TV, penonton dan pada masa yang sama masih berpegang kepada prinsip dan misi diri sendiri? Sekiranya pengkarya itu seorang penulis skrip, dia juga perlu berkompromi dengan kehendak penerbit dan pengarah. Di sini lah letaknya kebijaksanaan dalam menangani kapitalis. Contohnya bagaimana menulis dialog agama secara santai dan bersahaja dalam drama komedi? Jawapannya, bergantung kepada bakat, pengalaman, kemahiran berkomunikasi dan kefahaman pengkarya itu sendiri. Tidak ada garis panduan samada A, B, C, D dalam menangani isu ini.

KENAPA DRAMA MELAYU TERUK?

Jawapannya terletak pada industri itu sendiri. Industri drama (kalau lah boleh disebut industri) berkembang pesat sejak akhir-akhir ini berikutan tumbuhnya beberapa stesyen baru yang menawarkan slot drama Melayu. Akan tetapi kita kekurangan “talent”.

Talent bermaksud penulis skrip, pengarah, pengurus produksi, jurukamera, mekap artis, wardrobe, propman dan sebagainya. Oleh kerana culture dalam industri ini memerlukan seseorang “start from scratch” yakni belajar dari pengalaman dan kesilapan, talent yang baik mesti ada pengalaman kira-kira 10 tahun. Tapi, talent yang keluar masuk industri sesuka hati dan industri yang “booming” dan “merudum” sesuka hati, menyukarkan terhasilnya satu pasukan talent yang mantap. Kita buat filem dan drama bila ada duit dan ada slot sahaja.

Slot drama Melayu mula meriah sekitar 1995-97 apabila Astro dan NTV7 ditubuhkan. TV3 pula mula memperuntukan lebih banyak slot drama Melayu. Tetapi ia lumpuh ketika ekonomi gawat 1998. Hanya 2-3 tahun kebelakangan ini industri kembali aktif . Ini menyebabkan penggiat industri keluar masuk industri secara tidak konsisten. Tambahan pula industri ini kecil berbanding IT, manufacturing, construction, banking, aeroangkasa, etc. Kita tidak eskpot drama kita sebagaimana kita ekspot sawit atau proton saga.

Lantaran itu, ada penerbit yang masuk dalam industri kerana hendak buat untung atas angin di waktu industri “booming” atau ketika ada “cable” dengan stesyen. Mereka berhenti buat bila industri lembab atau “cable” sudah berhenti dari stesyen. Mereka ini tidak pernah berjaya memantapkan kemahiran ‘kepenerbitan’ mereka. Produk mereka hancur kerana tiada pengalaman. Ada kala mereka “sub” atau “JV” dengan orang berpengalaman tetapi ditipu. Setengah kes, mereka pula menipu orang yang mereka “sub” atau “JV” itu.

Ada sesetengah ahli perniagaan berminat untuk diversify jenis perniagaan lalu memilih untuk menerbitkan drama Melayu. Kata lah dengan modal sebanyak RM5 juta untuk menubuhkan sebuah syarikat produksi yang ala-ala Grand Brilliance atau lebih kecil dari itu. Namun, setelah mengetahui bahawa margin keuntungan dalam bisnes ini adalah kecil, mereka pun menarik diri. Alasan mereka, "lebih baik saya jual simen atau batu kepada industri pembinaan...(yang tentunya profit margin besar)..."

Ada juga ahli perniagaan yang masuk dalam industri dengan niat hendak 'menghimpit' aktres kesukaan. Namun, kerana niat yang tidak baik, produk jadi hancur. Atau mereka menarik diri dari bidang ini setelah aktres yang diidamkan itu enggan melayan walaupun ditawarkan sebagai 'main cast' atau 'leading role'.

Dari segi talent pula, ada talent bagus bertindak keluar dari industri kerana kecewa dengan banyak perkara. Antaranya underpaid, overworked, tidak profesional, menjadikan sekadar hobi, passion atau glamor. Kadang-kadang talent yang bagus keluar kerana timbul kesedaran agama. Mereka berpendapat kerja ini adalah haram di sisi agama.

Ramai talent yang bagus atau lulusan sekolah filem enggan masuk dalam industri ini kerana bayaran kurang. Mereka memilih advertising yang bayarannya cukup lumayan. Selain itu, ada talent bagus yang enggan masuk kerana ingin mempertahankan ideologi dan prinsip. Mereka ini adalah graduan sekolah filem terutama yang menjadi best student, dapat ijazah kelas pertama atau sekurang-kurangnya TOP 5 dalam kelas (berdasarkan markah projek kelas mereka). Di sekolah, mereka dibasuh oleh pensyarah untuk mengkaji filem yang mempunyai intelek tinggi dari Iran, Itali, Perancis, etc. Namun, bila keluar dari sekolah, mereka berhadapan dengan kehendak stesyen TV yang mahukan produk yang mengikut selera penonton.

Masalah lain, industri drama berpotensi untuk lumpuh sekiranya berlaku musibah ekonomi. Gawat 1997 adalah bukti. Jadi, tidak ramai yang berani untuk serius dalam industri ini kerana bimbang musibah itu akan berulang. Mereka sekadar menjadikannya sebagai ‘passion’ dan mempunyai kerja atau bisnes lain yang tidak ada kaitan dengan filem. Boleh dikatakan ramai talent mempunyai dua jenis pekerjaan yang berlainan. Ini menyukarkan tumpuan atau fokus mereka terhadap kerja drama.

DRAMA MELAYU BERTEMAKAN ISLAM

Berikut adalah teguran ikhlas dari seorang penonton drama Melayu.

Salam
Petang semalam saya tengok TV oasis berjudul `mencari nur khadijah'.
Citernya bagus, yang pompuannya tutup aurat, drama keIslamanlah tapi…
yang tak bestnya di akhir citer tu Eja sebagai adik ipar pegang tangan
abang iparnya untuk disatukan pada tangan Erma Fatima(kakak Eja dalam
citer ni). Diorang ni, tak kiralah penulis ke pengarah ke penerbit ke,
tak buat homework dulu ke sebelum buat citer ni. Mana boleh adik ipar
dengan abang ipar bersentuhan, itukan bukan muhrim. Kalau nak buat
citer keIslaman, janganlah tangkap muat je. Nak buat pahala, dapat dosa
lak. Nanti budak2 yang tak belajar pasal ni akan terikut2 dan mula tak
tutup aurat depan ipar duai ni. Saper nak jawab…..
"soufeeluqman@yahoo.com"


Ini jawapan saya :


Sebagai pengamal industri ini, saya melihat ada di antara pengamal berniat baik untuk berdakwah melalui medium ini. Sayangnya mereka kekurangan ilmu. Kebanyakan mereka berasal dari latarbelakang yang tidak menekankan budaya mencari ilmu, penyelidikan dan homework. Tidak ramai yang sekolah tinggi. Mereka ‘naik’ dalam bidang dengan bermula dari bawah, bukan dengan sijil, diploma atau ijazah. Mereka juga sering keluar masuk industri berdasarkan turun naik industri. Mereka keluar dari industri sewaktu ekonomi merudum dan 'tiada job'. Mereka masuk semula sewaktu ekonomi pesat dan 'ada job'. Suka diingatkan bahawa sekiranya berlaku musibah ekonomi, industri drama Melayu tempatan lah yang paling terjejas teruk. Ini adalah kerana industri ini sangat kecil dan menjana pulangan pendapatan yang sangat sedikit.

Apa pun, kesedaran agama sedikit sebanyak ada di kalangan segelintir pengamal. Bukan semua pengamal lupa pada Tuhan atau tidak berTuhan. Namun, golongan ini perlu bimbingan daripada orang berilmu. Mereka perlu mendekati orang berilmu, serius memperbaiki diri dan belajar. Orang berilmu pula perlu mendekati mereka dengan ikhlas. Jadi, masing-masing kena buang ego dan saling mendekati. Baru lah produk filem dan drama kita akan lebih berjaya di masa depan. Berjaya maksudnya dari segi sentuhan agama, budaya, intelek, sosial dan sebagainya.

Kepada pengamal yang belum ada kesedaran, orang berilmu perlu menegur dan menasihati secara berhikmah. Tidak baik menggunakan nada yang keras, menghina atau menghukum. Ini akan lebih menjauhkan pengamal dengan orang berilmu. Sekalipun, apa yang dikritik itu betul, pengamal akan berasa sukar hendak menerimanya kerana ingin mempertahankan ego. Apa yang selalu berlaku ialah orang berilmu itu mungkin menang dalam perdebatannya, tetapi dia gagal menawan hati orang yang dinasihati.

Selain itu, pengamal yang sudah ada kesedaran agama, jangan lah terus meninggalkan bidang ini. Terus lah kekal dalam bidang ini dengan niat untuk menghasilkan produk yang baik. Wadina sudah membuktikannya tetapi yang lain-lain mengambil keputusan untuk terus berundur dari bidang ini. Alasan mereka, bidang ini bercanggah dengan syariat Islam.

Pengamal yang kekal dalam industri perlu cuba menjadikannya 'syariah-compliant'. Sebagai contoh, Wardina menolak semua skrip yang tidak selaras dengan syariat seperti adanya adegan berpegang tangan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Pada mulanya, beberapa penerbit merungut juga dengan syarat itu. Namun, akhirnya ketegasan Wardina menyebabkan penerbit terpaksa akur.

Sementara pengamal yang berkesedaran agama kekal dalam industri, orang berilmu dari luar perlu lah juga masuk ke dalam industri. Orang berilmu yang banyak duit, boleh membiayai penerbitan filem & drama. Terbitkan drama yang baik-baik saja, bukan yang merapu. Jadi misi berdakwah melalui medium seni ini akan lebih mudah. Sebagai contoh, Abu Hassan Morad yang konsisten dalam menerbitkan drama dakwah.

Bagi orang berilmu yang tidak mempunyai modal berjuta, bolehlah menyumbang idea. Contohnya, seorang ustaz ada memberi idea kepada pengarah Jinggo dan isterinya pelakon Shiela Rusly semasa di Mekah. Balik dari Mekah pasangan suami isteri itu menerbitkan "Demi Masa". Shiela Rusly pula sudah bertudung sekarang.

Kita harap banyak lagi kes seperti ini di masa akan datang. Jika tidak, bila tiba waktu Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Raya Haji, penerbit drama akan tangkap muat saja cerita apa yang ada. Buat pula tergesa-gesa kerana stesyen TV sudah minta untuk tayangan. Mahu tidak mahu, terpaksa penuhi slot yang ada. Homework dan research pula diketepikan kerana faktor masa terhad. Apabila pengamal kurang berilmu, itu lah "agama" yg kita tonton di TV pada hari sambutan agama. Apatah lagi sekarang TV9 dan Astro Aosis menyediakan banyak slot untuk drama bertemakan agama. Biasanya, bagi memenuhi permintaan stesyen berkenaan, penerbit akan memasukkan agama yang bersifat kosmetik semata-mata. Sedangkan jiwa atau intipati drama itu masih bersifat sekular. Penonton pula terpaksa menonton kerana tiada pilihan lain.

FENOMENA SENI - FILEM KITA TANDUS AGAMA? BAHAGIAN II

Prof Razak Mohideen ada menyebut ‘genre agama’. Saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkannya? Berdasarkan kefahaman saya, genre adalah samada komedi, drama berat, drama ringan, seram, aksi, romantik, romantik komedi, melodrama, komedi seram, aksi dramatik dan sebagainya. Sedangkan agama, cinta, keluarga, baik lawan jahat, sosial, dan sebagainya adalah tema. Kemudian, seorang pemanggil menelefon ke studio dan mencadangkan agar penerbit filem menerbitkan filem agama romantik komedi. Dia ketawa kecil di hujung bicara sebelum meletak telefon. Ahli panel dan pengacara tidak memberi apa-apa reaksi kerana menganggap cadangan itu tidak serius.

Saya berpendapat sebaliknya. Cadangan itu tidak wajar dipandang sepi. Ia berasas. Kristian sudah pun melakukannya dalam ratusan filem pop Hollywood. Contohnya, French Kiss lakonan Meg Ryan (1995) ditulis berdasarkan cerita dalam tiga surah Bible iaitu Luke, Matthew dan Genesis. Jiwa agama yang sangat ketara dalam filem pop Hollywood adalah Matrix (1999). Filem itu bertemakan Good Vs Bad dan dibuat dalam genre aksi. Bagaimanapun, dari perspektif Kristian ia adalah sebuah filem agama.

Di Malaysia, kalau sebut filem agama, pengkarya akan terfikirkan tema agama seratus peratus dan perlu dipersembahkan dalam genre drama berat. Ini biasa. Mungkin itu lah puncanya kenapa filem agama tidak laku di panggung. Khalayak yang menonton filem adalah remaja dan belia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun. Majoriti belum berkahwin. Majoriti sedang bercinta. Majoriti berpendidikan rendah. Walaupun mereka khatam Quran sejak di darjah enam dan tidak pernah tinggal sembahyang lima waktu, tapi kalau ke panggung, niat mereka tetap kerana mahukan hiburan dan keseronokan. Jarang sekali mereka memasang niat, “aku ke panggung kerana mahu mencari ilmu agama.” Dalam minda kebanyakan mereka, ilmu agama perlu dicari di surau, bukan di panggung wayang. Ini hakikat.

Kita semua maklum bahawa 40 tahun lagi pun, penonton Malaysia tidak mungkin mahu menonton filem jenis ini. Kalau memang sengaja dibuat untuk menang anugerah atau dieksport ke luar negara, itu tidak mengapa. Malahan, sangat dialu-alukan. Namun, kalau untuk penerbit ‘cari makan’, memang penyakit jawabnya. Sudahnya penerbit berhutang dengan bank dan tidak dapat lagi menerbitkan filem selepas itu. Keadaan ini berlaku pada beberapa penerbit, contohnya Puan Habsah Hassan yang menerbitkan Qaisy & Laila.

Memandangkan mereka membincangkan tentang filem jenis ini, ahli panel dengan mudah menunding jari kepada penerbit. Penerbit enggan menerbitkannya kerana ia tidak mungkin laku di panggung. Mereka juga menyalahkan penonton kerana enggan memilih filem agama berat. Keengganan ini menyukarkan para pengkarya untuk berdakwah melalui filem. Atau berjihad mengikut kata Bade. Mereka kemudiannya membincangkan samada orang kaya Muslim tampil membiayai penerbitan filem atas nama jihad. Atau organisasi agama kerajaan membiayainya.

Bagaimanapun, sekiranya pengkarya itu ada ilmu agama atau kesedaran agama, dia tidak perlu menunggu dana dari orang kaya atau kerajaan. Dia masih boleh menyampaikan agama secara santai dan bersahaja melalui filem-filem komersil. Tidak kira lah samada genre komedi, romantik atau aksi. Penerbit memang tidak ada masalah hendak menerbitkan genre ini. Ia sangat laris di panggung. Sepatutnya pengkarya kita mengambil kesempatan untuk memaparkan agama dalam filem-filem seperti ini yang ditonton oleh remaja dan belia. Sayang sekali, pengkarya tidak berbuat demikian kerana kekurangan ilmu. Atas dasar itu, tepat sekali keputusan undian SMS di akhir rancangan. Kebanyakan pengundi berpendapat filem kita tandus agama kerana pengkarya kurang berilmu.

FENOMENA SENI - FILEM KITA TANDUS AGAMA? BAHAGIAN I

Berjihad melalui filem. Ini lah kesimpulan perbincangan dalam rancangan bual bicara, FENOMENA SENI pada 13 Jun lalu. Rancangan yang ke udara pada jam 10 malam setiap Jumaat itu dikendalikan oleh pengacara Rosyam Nor. Siaran pada 13 Jun lalu membawa tajuk FILEM KITA TANDUS AGAMA? (wajib menekankan tanda soal pada tajuknya). Ahli Panel terdiri daripada Faisal Tehrani, Profesor Madya Razak Mohideen dan Bade Haji Azmi. Siapa tidak kenal ketiga-tiga nama ini.

Dalam rancangan itu, Faisal konsisten dengan pendapatnya sebelum ini bahawa filem kita memang ketandusan agama. Prof Razak pula mempertahankan dakwaan ini. Baginya, menjawab salam juga sudah dikira agama. Dia turut menjelaskan bahawa filemnya, ANAK MAMI mendidik penonton dari segi keagamaan iaitu “jangan mengumpat kerana perbuatan itu berdosa besar dari segi agama”. Malah penggiat filem yang diwawancara di luar studio juga bernada sama seperti Prof Razak. Antaranya termasuk lah penerbit Raja Alawiyah dan pelakon/pengarah Pierre Andre.

Akan tetapi Bade tidak pula defensif. Sebaliknya mengakui bahawa membikin filem agama adalah satu jihad. Namun, jihad ini sukar dilakukan kerana penerbit enggan membuat filem agama yang kemungkinan tidak laku di panggung. Bade dan pengarah-pengarah lain yang seangkatan dengannya sukar hendak berjihad kalau penerbit enggan membiayai penerbitan filem yang menelan belanja sekitar RM1.5 ke RM2 juta. Jadi, Bade berpendapat bahawa tanggungjawab jihad ini terletak pada orang-orang kaya Muslim yang berkesedaran agama. Mereka ini lah yang perlu ‘turun padang’ dengan cara membiayai penerbitan drama bertemakan Islam.

Namun, bercakap tentang orang kaya, rasanya mereka lebih minat membiayai pembinaan masjid berbanding filem. Pada fikiran mereka, filem adalah maksiat dan haram. Jadi, tidak ramai orang kaya Muslim – samada yang taat atau tidak – sedar akan kepentingan filem sebagai alat untuk mendidik generasi muda. Ramai yang menyumbang jutaan ringgit untuk masjid tetapi masjid kosong. Bapa remaja pun sukar hendak ke masjid, apatah lagi remaja.

Saya berpendapat kita masih ada harapan untuk berdakwah kepada remaja. Caranya ialah melalui medium yang pada fikiran mereka cool dan happening. Filem adalah salah satu daripada medium itu. Ini boleh dilakukan dengan syarat filerm itu tidak mencampuradukkan antara yang benar dengan yang salah. Dalam kata lain, filem itu syariah-compliant. Dialog jangan terlalu berkhutbah. Jangan ada unsur mahu menghukum atau memaksa penonton menerima pendapat pengkarya. Sekadar menggambarkan agama secara bersahaja dan santai. Biar mereka merasainya dengan jiwa. Rasanya cara ini lebih berkesan berbanding mengadakan program ceramah di masjid dan surau. Remaja kita (termasuk bapak-bapak mereka) mungkin tidak berminat dengan ceramah di surau.
Soalnya bagaimana hendak menarik minat golongan kaya dan pemilik modal Muslim untuk melabur dalam industri filem atas nama jihad? Sedangkan ramai yang menganggap bahawa filem adalah kerja maksiat, haram dan segala yang buruk-buruk sahaja.